BERITA TERKINI   Ringgit naik kepada paras tertinggi dalam tempoh lebih tiga bulan berbanding dolar AS, mencecah 4.19 pada 11.25 pagi | Pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dibentang ke Jemaah Menteri hujung bulan ini - PM Anwar | Keputusan Petronas untuk mengimport gas terutamanya dari AS adalah tertakluk kepada keupayaan dan keperluan gas negara - PM Anwar | Kerajaan menyerahkan keputusan berkaitan komersial dan pelaburan kepada Petronas tanpa campur tangan politik - PM Anwar | Serangan terhadap anak Rafizi: PM Anwar zahir rasa dukacita ada budaya melampau dalam negara | 

RHB IB Kekalkan Unjuran KDNK 2025 Pada 4.2 Hingga 4.4 Peratus

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- RHB Investment Bank (RHB IB) mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 Malaysia pada 4.2 peratus, dengan potensi meningkat kepada 4.4 peratus.

Dalam nota penyelidikan hari ini, katanya pemangkin utama termasuklah panduan yang lebih jelas mengenai kadar tarif Amerika Syarikat (AS), ketegangan perdagangan AS-China yang mereda dan langkah-langkah rangsangan domestik.

“Pengurangan tarif AS kepada 19 peratus daripada 25 peratus akan menjadi sentimen positif manakala langkah Presiden AS Donald Trump melanjutkan tarikh akhir untuk tarif lebih tinggi ke atas China kepada 10 Nov memberi kelegaan sementara daripada risiko yang meningkat.

“Pada peringkat domestik, pemberian tunai Merdeka berjumlah RM2 bilion dijangka memberi rangsangan sederhana terhadap penggunaan, menambah anggaran 0.2 mata peratusan kepada KDNK 2025 berdasarkan kecenderungan penggunaan sebanyak 0.5 serta kadar cukai jualan dan perkhidmatan sebanyak lima hingga 10 peratus,” katanya.

Trump mengumumkan pelan untuk mengenakan tarif 100 peratus ke atas semikonduktor buatan asing, dengan pengecualian dijangka kepada syarikat yang mempunyai pelaburan di AS.

Pengecualian untuk produk semikonduktor kekal tertakluk kepada siasatan Jabatan Perdagangan AS yang sedang dijalankan di bawah Seksyen 232 Akta Perluasan Perdagangan 1962. Tarif masih boleh dikenakan bergantung pada hasil siasatan.

Sebagai pengeksport semikonduktor keenam terbesar di dunia, Malaysia mencatatkan lebih RM600 bilion untuk eksport elektrik dan elektronik tahun lepas.

-- BERNAMA