Bursa Dibuka Tinggi

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi dan dijangka menghampiri paras 1,600 hari ini selepas momentum Wall Street semalaman yang positif didorong oleh harapan terhadap penurunan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) selain musim pelaporan pendapatan korporat yang kukuh,  kata penganalisis.

Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.48 mata atau 0.16 peratus kepada 1,589.08 daripada 1,586.60 semasa ditutup semalam.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 0.31 mata kepada 1,586.91.

Pasaran secara menyeluruh positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 191 berbanding 154. Sejumlah 301 kaunter tidak berubah, 1,918 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 174.93 juta saham bernilai RM97.13 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata kenaikan semalaman Wall Street telah mendorong Nasdaq dan S&P500 mencatat paras tertinggi. 

“Sementara itu, hasil 10 tahun AS merosot kepada 4.236 peratus manakala Indeks Hang Seng Hong Kong melepasi paras 25,000 berikutan kesediaan pelabur untuk mengambil risiko yang meningkat apabila harapan terhadap penurunan kadar faedah AS pada September tinggi,” katanya kepada Bernama. 

Pada peringkat domestik, apabila FBM KLCI melonjak hampir kepada paras 1,590 semasa ditutup semalam, Thong percaya indeks akan melepasi paras 1,600 tidak lama lagi dan akhirnya akan meningkatkan jumlah dagangan keseluruhan di pasaran tempatan pada masa depan.

“Kami menjangka momentum belian berterusan dan indeks berada dalam julat 1,580 hingga 1,600 hari ini,” katanya. 

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah enam sen kepada RM9.92, Public Bank naik satu sen kepada RM4.45 dan CIMB meningkat lima sen kepada RM7.24. Tenaga Nasional berkurangan enam sen kepada RM13.74 manakala IHH Healthcare mendatar pada RM6.91.   

Dalam senarai diniagakan secara aktif, Oxford Innotech naik tiga sen kepada 41 sen, Mtouche Technology, Icents dan YGL, masing-masing meningkat setengah sen kepada 3.5 sen, 43 sen dan 14 sen manakala Classita merosot setengah sen kepada 8.5 sen.

Dalam pasaran secara menyeluruh, Indeks FBM Emas naik 16.23 mata kepada 11,820.41, Indeks FBMT 100 meningkat 15.18 mata kepada 11,604.19 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 2.18 mata kepada 11,770.73.

Indeks FBM ACE naik 4.80 mata kepada 4,659.41 dan Indeks FBM Mid 70 meningkat 9.19 mata kepada 16,785.55.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 67.76 mata kepada 18,141.66, Indeks Perladangan naik 25.76 mata kepada 7,623.75 dan Indeks Tenaga menambah 2.40 mata kepada 740.04.

Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 0.07 mata kepada 158.44.

-- BERNAMA