Kilang Pintar Agilent P.Pinang Diiktiraf Di Peringkat Global Bagi Kecemerlangan Industri 4.0
KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Kilang pintar Agilent Technologies Malaysia Sdn Bhd di Pulau Pinang diiktiraf sebagai peneraju global dalam Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) dan McKinsey & Company.
Dalam kenyataan bersama hari ini, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), InvestPenang dan Agilent Technologies berkata pengiktirafan berkenaan diberikan kepada kilang di seluruh dunia yang memperlihatkan prestasi cemerlang dalam produktiviti, daya tahan rantaian bekalan dan pembangunan bakat menerusi penggunaan teknologi maju.
“Dengan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital maju lain, Agilent Pulau Pinang telah meningkatkan produktiviti keseluruhan sebanyak 40 peratus, mengurangkan masa tunggu penghantaran sebanyak 48 peratus dan mengurangkan kesan alam sekitar dengan ketara.
“Kemajuan ini telah meningkatkan ketangkasan untuk memenuhi permintaan pasaran yang berubah-ubah dan pada masa sama melengkapkan tenaga kerja dengan kemahiran sedia AI,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan bersama itu, fasiliti Agilent Pulau Pinang adalah satu daripada dua kilang di Malaysia yang diiktiraf oleh WEF, meletakkan negeri itu dalam kedudukan global untuk kecemerlangan pembuatan maju.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata kedua-dua tapak “Lighthouse” di Malaysia di negeri itu mencerminkan kesediaan Pulau Pinang untuk menerima pakai 4IR dan peranannya sebagai penanda aras nasional dalam pembuatan pintar.
“Agilent mengimbangkan kemajuan teknologi dengan tanggungjawab alam sekitar dan sosial, menjadikan fasiliti mereka di Pulau Pinang sebagai model sebenar pembangunan kilang pintar di Malaysia,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata Agilent memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan rantaian nilai semikonduktor negara.
“Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) memperkukuh keseluruhan ekosistem industri melalui kemajuan kemahiran, penyelidikan dan infrastruktur, yang seterusnya menyokong syarikat bernilai tinggi seperti Agilent dan membantu sektor semikonduktor menjadi lebih berdaya tahan.
“Bersama-sama Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Rancangan Malaysia Ke-13, usaha nasional ini diterjemahkan kepada impak nyata dan boleh diukur,” katanya.
NSS adalah pelan 10 tahun Malaysia untuk meningkatkan industri semikonduktor daripada hanya pemasangan dan pengujian kepada hab global bagi reka bentuk cip, pembuatan dan penyelidikan serta pembangunan maju.
Sementara itu, Presiden Interim bagi Pemenuhan Pesanan dan Rantaian Bekalan serta Naib Presiden Pembuatan Instrumen Global Agilent, Chow Woai Sheng berkata kerjasama antara manusia dan mesin boleh meningkatkan keupayaan serta membuka peluang baharu dalam menyesuaikan diri dengan keadaan pasaran yang sentiasa berubah.
“Di Agilent, kami berbangga untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang yang berterusan dengan memacu inovasi, pembuatan bertaraf dunia dan melabur dalam kemahiran bernilai tinggi,” katanya.
Menurut Agilent, 88 peratus daripada tenaga kerja tempatannya di Pulau Pinang telah dipertingkatkan kemahiran melalui program latihan digital untuk menyokong transformasi 4IR syarikat.
“Memandangkan syarikat terus memajukan aplikasi AI dalam pengeluaran instrumen sains hayat, Agilent terus bekerjasama dengan komuniti saintifik Malaysia untuk mempercepat penemuan dan meningkatkan kualiti hidup di seluruh dunia,” katanya.
-- BERNAMA