Proses Penggabungan Pekebun Kecil Getah Berada Di Landasan Yang Tepat - Johari
KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Proses penggabungan pekebun kecil getah dan penyatuan tanah getah berskala kecil berada di landasan yang tepat, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata kementeriannya telah mengadakan perbincangan bersama pekebun kecil bagi mengenal pasti cara pengurusan tanah getah tersebut.
Menurut Johari, menerusi penggabungan ini negara juga dapat mengurangkan pergantungan terhadap getah import yang mencecah 1.1 juta tan metrik.
"Penggabungan kebun-kebun kecil ini sedang dalam proses ... kita ada berbincangan dengan mereka (pekebun kecil) untuk mereka serahkan senarai pekebun kecil kepada pihak Lembaga Getah Malaysia.
"Dengan itu, kita boleh mengenal pasti cara untuk kita menguruskan dan mengaktifkan (tanah getah) bersama-sama dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA)," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 peringkat Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), di sini, hari ini.
Turut hadir pada majlis tersebut, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin serta warga dan agensi di bawah kementerian.
Dalam pada itu, Johari berkata kerajaan akan terus mempergiat usaha program penanaman semula bagi semua sektor komoditi di Malaysia di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
"Program penanaman semula ini akan ditekankan dibawah RMK13 bagi membantu pekebun kecil serta menjadi sumber pendapatan yang berterusan kepada negara," katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan terus melonjakkan pembangunan subsektor agrikomoditi meliputi sawit, getah dan koko, yang menjadi penyumbang penting kepada ekonomi negara.
-- BERNAMA