Pasaran Getah Ditutup Rendah Seiring Pasaran Niaga Hadapan Getah Serantau
Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani
KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia meneruskan trend menurun untuk ditutup rendah hari ini seiring dengan pasaran niaga hadapan getah serantau yang perlahan dan pengukuhan ringgit berbanding dolar AS, kata peniaga.
Beliau berkata sentimen pasaran terjejas disebabkan isyarat ekonomi yang lembap di China, dengan pinjaman baharu dalam mata wang yuan menyusut pada Julai buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun.
Penyusutan jualan kereta di Amerika Syarikat, yang berkurangan 300,000 pada Jun kepada 15.3 juta daripada 15.6 juta selepas situasi pembelian tergesa-gesa turut memberi kesan kepada sentimen.
Bagaimanapun, penyusutan selanjutnya dihadkan oleh kenaikan harga minyak mentah serta kebimbangan mengenai potensi kekurangan bekalan getah asli akibat cuaca hujan di Thailand.
Jabatan Meteorologi Thailand memberi amaran mengenai hujan lebat dan pengumpulan air yang boleh menyebabkan banjir kilat dan limpahan air dari 13 hingga 19 Ogos.
Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan harga Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 susut 6.0 sen kepada 726.50 sen sekilogram manakala susu getah pukal berkurangan 3.0 sen to 570.0 sen sekilogram.
-- BERNAMA