BERITA TERKINI   Inflasi Malaysia meningkat 2.0 peratus pada Mei 2026 - DOSM | Lebihan dagangan meningkat kepada RM40.4 bilion pada Mei 2026, sekali gus mencatat lebihan selama 73 bulan berturut-turut sejak Mei 2020 - DOSM | Eksport Malaysia tumbuh 45.3 peratus kepada RM184.0 bilion, import naik 14.1 peratus kepada RM143.6 bilion pada Mei 2026 - DOSM | Jumlah perdagangan Malaysia meningkat 29.8 peratus kepada RM327.6 bilion pada Mei 2026, didorong pertumbuhan eksport lebih kukuh - DOSM | DBKL peruntuk RM200 juta di bawah Program Lestari Niaga bangunkan semula 287 lokasi gerai penjaja di ibu negara - Hannah | 

Pelaburan Tambahan Bukti Keyakinan Pelabur Terhadap Prospek Ekonomi Negara - Zafrul

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Kemasukan pelaburan tambahan ke Malaysia disokong oleh keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi negara, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. 

Beliau berkata dasar dan polisi kerajaan yang menyokong pertumbuhan ekonomi negara, memberi keyakinan kepada pelabur untuk membuat pelaburan tambahan di Malaysia. 

“Kalau kilang itu tidak untung, mereka tidak akan buat pelaburan tambahan. Kita bagi contoh Infineon, mereka ada kilang di Jerman, Austria, Hungary, Singapura dan juga Indonesia. Mereka boleh saja besarkan operasi di negara lain, tetapi mengapa mereka memilih Malaysia?. 

“Ini kerana mereka yakin dengan hala tuju ekonomi negara dan juga kerana kita sediakan insentif yang menarik bagi menggalakkan pelaburan dalam sektor berteknologi tinggi,” katanya menerusi hantaran video di laman media sosial X beliau. 

Tengku Zafrul berkata, kesungguhan pemimpin negara seperti Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berjumpa pengurusan tertinggi syarikat pelabur membuktikan Malaysia bersedia untuk memudah cara pelaburan di negara ini. 

Sekali gus, ini akan membina keyakinan serta mempercepat keputusan pelaburan tambahan syarikat tersebut, katanya. 

“Itulah sebabnya (mengapa) misi perdagangan dan pelaburan ke luar negara yang diketuai Perdana Menteri itu penting. Kita nak tunjuk kita serius nak tarik pelaburan mereka, pelaburan tambahan ini tidak akan datang bergolek. 

“Ia adalah indikator keyakinan pelabur terhadap ekonomi dan dasar kerajaan serta hasil daripada usaha gigih kepimpinan negara dalam menarik dan mengekalkan pelaburan berkualiti,” katanya.

-- BERNAMA