BERITA TERKINI   Cadangan serap petugas kontrak KEMAS ke jawatan harap dimasukkan dalam Belanjawan 2026 - TPM Ahmad Zahid | Felcra agih RM101 juta keuntungan kepada 74,300 peserta secara berperingkat mulai hari ini - TPM Ahmad Zahid | Felcra komersialkan padi wangi tempatan, alternatif untuk beras wangi import - TPM Ahmad Zahid | Felcra Berhad catat Keuntungan Boleh Agih Interim 1 tahun 2025 berjumlah RM178 juta - TPM Ahmad Zahid | 

Niaga Hadapan FBM KLCI Dijangka Diniagakan Tinggi Minggu Depan

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan tinggi minggu depan, kata penganalisis.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata minggu depan, tumpuan pelabur adalah pada beberapa pengumuman ekonomi utama termasuk Indeks Harga Pengguna (IHP) pada Julai di Zon Euro, tuntutan pengangguran Amerika Syarikat, minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) dan keputusan kadar pinjaman utama People's Bank of China.

Pada peringkat domestik, katanya FBM KLCI merosot selepas mencecah paras tertinggi harian pada 1,595.31 pada Khamis.

Bagaimanapun, katanya unjuran positif dalam tempoh sederhana kekal utuh selepas melepasi paras halangan utama pada 1,565 awal minggu ini.

“Purata Pergerakan Eksponen (EMA) diniagakan tinggi, menunjukkan pasaran secara menyeluruh adalah baik dengan minat belian yang berterusan,” katanya kepada Bernama. 

Beliau berkata pergerakan berterusan melepasi paras 1,580 berpotensi kepada 1,600 manakala paras sokongan pada 1,565 dan 1,550 akan menjadi faktor utama untuk mengekalkan trend positif semasa. 

“Oleh itu, kami menjangka indeks petunjuk pasaran diniagakan dalam julat 1,565 hingga 1,580 minggu depan,” katanya. 

Pada asas mingguan, kontrak bulan semasa Ogos 2025 dan September 2025, masing-masing naik 21.0 mata kepada 1,577.0 dan 1,556.0, Disember 2025 meningkat 20.5 mata kepada 1,555.5 dan Mac 2026 menambah 19.5 mata kepada 1,540.0.

Jumlah dagangan minggu ini meningkat kepada 39,969 lot daripada 27,952 lot minggu lepas manakala kepentingan terbuka naik kepada 44,964 kontrak daripada 42,137 kontrak sebelum ini.

FBM KLCI mengakhiri minggu ini dengan mencatatkan tinggi apabila naik 19.36 mata kepada 1,576.34 pada Jumaat daripada 1,556.98 pada minggu sebelumnya.

-- BERNAMA