BERITA TERKINI   Insiden libat warga asing: Status visa bukan imuniti individu langgar undang-undang, ancam keselamatan - Saifuddin Nasution | Pembangunan projek mega perlu angkat budaya, tamadun dan teknologi baharu untuk rakyat - PM Anwar | 

Niaga Hadapan Emas Dijangka Alami Dagangan Berhati-hati Minggu Depan

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka menyaksikan dagangan berhati-hati minggu depan, dipengaruhi oleh perkembangan luar negara dan prestasi COMEX Amerika Syarikat (AS).

Pelabur dijangka mengambil sikap tunggu dan lihat menjelang minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS yang dikeluarkan pada 20 Ogos, di tengah-tengah kelemahan berterusan dolar AS.

Bagi asas mingguan, kontrak bulan semerta Ogos 2025 susut kepada US$3,344.10 setiap auns troy pada Jumaat daripada US$3,415.80 minggu sebelumnya, kontrak September 2025 meningkat kepada US$3,349.50 setiap auns troy daripada US$3,421.50, manakala Oktober 2025 menyusut kepada US$3,378.90 setiap auns troy daripada US$3,451.50 dan November 2025 turun kepada US$3,395.70 setiap auns troy daripada US$3,468.90 sebelumnya.

Sementara itu, kontrak bagi Disember 2025, Februari 2026 dan April 2026 masing-masing ditutup lebih rendah kepada US$3,415.20 setiap auns troy berbanding US$3,488.40 setiap auns troy sebelumnya.

Jumlah dagangan mingguan susut kepada 98 lot daripada 107 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka mengecil kepada 38 kontrak daripada 52 kontrak.

Harga emas fizikal berada pada US$3,343.85 setiap auns troy berdasarkan penetapan oleh London Bullion Market Association pada 14 Ogos, 2025.

-- BERNAMA