ASEAN Sedia Pimpin Selatan Global Dalam Pertumbuhan Mampan - Tengku Zafrul
SUBANG JAYA, 16 Ogos (Bernama) -- ASEAN boleh menetapkan penanda aras bagi pertumbuhan mampan di Selatan Global sekiranya dasar, perniagaan dan rakyat diselaraskan dengan masa depan rendah karbon, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata oleh kerana ASEAN dijangka menjadi ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030, penting bagi rantau ini untuk lebih proaktif dalam kepimpinan iklim memandangkan ASEAN terdedah kepada risiko iklim ekoran jajaran pantai yang panjang iaitu 173,000 kilometer.
“Berlandaskan kepengerusian ASEAN oleh Malaysia, negara ini sedang menggiatkan inisiatif yang menjadikan kemampanan sebagai matlamat kolektif dan berdaya maju dari segi kewangan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Forum Ekonomi dan Kepimpinan (ELF) di sini, hari ini.
Beliau berkata visi Malaysia adalah untuk menjadikan ASEAN sebagai hab global bagi pelaburan dan teknologi hijau.
“Sebab inilah kami memperjuangkan Keberhasilan Utama Ekonomi (PED), yang merangkumi objektif penting seperti pelaburan mampan, pembiayaan dan modal hijau, pelan hala tuju Kenderaan Elektrik ASEAN, peralihan hijau bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), serta menjadikan ASEAN sebagai destinasi pelaburan mineral mampan,” katanya.
Tengku Zafrul berkata beliau juga berharap supaya semua inisiatif itu dapat diterjemahkan kepada dasar domestik yang mengurangkan risiko untuk pelabur, mempercepat penerimagunaan teknologi, dan memastikan kemampanan dapat menjana pulangan yang berdaya maju.
"Jika kita boleh bertindak dahulu – jika Malaysia dan ASEAN dapat melaksanakan peralihan hijau lebih awal daripada pesaing global kita – kita boleh mengukuhkan kepimpinan dan menarik modal bagi pelaburan, pembuatan dan perdagangan mampan.
"Kita bukan sahaja boleh membina produk malah juga membina kepercayaan dan kredibiliti ‘rakyat-bumi-keuntungan’,” katanya.
Beliau berkata sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia telah menggesa negara anggota untuk mengambil pendirian yang lebih teguh dan bersatu dalam tindakan iklim.
Tengku Zafrul berkata kerajaan komited untuk menerajui agenda kemampanan serantau, terutama menerusi Garis Panduan Pelaksanaan Inisiatif ASEAN Lestari (GPPIAL).
"Malaysia sendiri berpandukan Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0, dan kami sedang dalam persiapan untuk membentangkan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara tahun ini," katanya.
ELF merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Kelab Malaysia Kesatuan Pelajar London School of Economics (LSESU), yang bertujuan menggalakkan perbincangan bermakna mengenai isu dunia sebenar daripada perspektif Malaysia dalam kalangan belia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pendidikan Sunway, Prof Datuk Elizabeth Lee berkata forum yang bertemakan ‘ASEAN, Perniagaan, Dasar: Apakah Pelan Tindakan Kemampanan?’ amat bertepatan dengan waktunya kerana rantau ASEAN sedang berdepan krisis iklim yang semakin meruncing, memberi kesan terhadap alam sekitar dan masyarakat tempatan.
"Dasar negara dan kerjasama serantau mesti dibentuk bukan sahaja berdasarkan bukti saintifik dan keperluan alam sekitar yang mendesak, malah juga dengan keazaman politik dan kapasiti institusi untuk bertindak dan mendorong perubahan yang bermakna dan berkekalan," katanya dalam ucapan alu-aluan melalui video.
-- BERNAMA