BERITA TERKINI   Inflasi Malaysia meningkat 2.0 peratus pada Mei 2026 - DOSM | Lebihan dagangan meningkat kepada RM40.4 bilion pada Mei 2026, sekali gus mencatat lebihan selama 73 bulan berturut-turut sejak Mei 2020 - DOSM | Eksport Malaysia tumbuh 45.3 peratus kepada RM184.0 bilion, import naik 14.1 peratus kepada RM143.6 bilion pada Mei 2026 - DOSM | Jumlah perdagangan Malaysia meningkat 29.8 peratus kepada RM327.6 bilion pada Mei 2026, didorong pertumbuhan eksport lebih kukuh - DOSM | DBKL peruntuk RM200 juta di bawah Program Lestari Niaga bangunkan semula 287 lokasi gerai penjaja di ibu negara - Hannah | 

MCMC Anjur GDPM Fest 2025 Di Pahang, Perkasa PMKS

KUANTAN, 17 Ogos (Bernama) -- Program Geran Digital PMKS MADANI (GDPM) Fest 2025 yang dianjurkan di Pahang hari ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan perusahaan kecil, mikro dan sederhana (PMKS) khususnya sektor kesihatan tidak ketinggalan daripada arus kemajuan teknologi.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) memaklumkan program berkenaan bertujuan memperkasakan penerapan penyelesaian teknologi masa hadapan dalam kalangan PMKS, selain membentuk ekosistem penjagaan kesihatan yang lebih cekap dan inklusif. 

“Pelbagai aktiviti menarik telah dianjurkan termasuk demonstrasi penyelesaian teknologi masa hadapan, sesi perkongsian bantuan transformasi penjagaan kesihatan masa hadapan, pengalaman realiti maya (VR) dan kepentingan penggunaan teknologi dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat,” menurut MCMC dalam kenyataan hari ini.

Menurut suruhanjaya itu, program berkenaan yang berlangsung di sebuah hotel di sini dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang Datuk Razali Kassim.

Program itu turut mendapat sokongan daripada rakan strategik seperti Kementerian Kewangan, Bank Simpanan Nasional, Persatuan Perubatan Malaysia, Persatuan Farmasi Malaysia, penyedia perkhidmatan serta rakan-rakan penyedia teknologi kesihatan masa hadapan.

Menurut kenyataan itu, MCMC turut menjalin kerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi meningkatkan kesedaran berkaitan Garis Panduan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Dalam Talian (OHS), yang merupakan satu usaha penting dalam memastikan penggunaan platform kesihatan masa hadapan yang selamat, bertanggungjawab dan beretika.

“MCMC berharap program ini dapat menyokong usaha negara ke arah ekosistem penjagaan kesihatan yang lebih pintar, cekap dan inklusif demi kesejahteraan komuniti pakar perubatan, PMKS dan rakyat secara keseluruhannya,” menurut kenyataan itu. 

GDPM Fest 2025 yang dianjurkan di Johor pada 10 Ogos lepas akan diteruskan di Kota Kinabalu, Sabah pada 24 Ogos ini. 

-- BERNAMA