BERITA TERKINI   PM Anwar umum peruntukan RM2 juta untuk Kompleks Akademi Sepaktakraw Malaysia - PM Anwar | Rebat tiket penerbangan RM50 kepada rakyat Malaysia bagi laluan Semenanjung–Sabah, Sarawak dan Labuan sempena Gawai dan Kaamatan, dari 15 Mei-14 Jun -- Loke | Krisis Tenaga Global: CAAM lanjut tempoh kredit bayaran fi dan caj sehingga 60 hari berkuat kuasa 1 Mei bagi pelihara kemampanan operasi industri penerbangan -- Loke | Krisis tenaga global: ERL perkenal MyPutrajaya Monthly Travel Card khas untuk penjawat awam yang bekerja atau menetap di Putrajaya -- Loke | Krisis Tenaga Global: ERL perkenal MyKLIA Monthly Travel Card bagi rakyat Malaysia bekerja di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2 -- Loke | 

Suntikan Baharu RM116.7 Juta Beri Rangsangan Mudah Tunai Kepada DNB - Kenanga IB

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Suntikan modal baharu berjumlah RM116.7 juta daripada setiap pemegang saham pengendali rangkaian mudah alih (MNO) Digital Nasional Bhd (DNB) memberikan rangsangan mudah tunai jangka masa pendek kepada syarikat itu, menurut Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB).

Atas permintaan DNB, setiap pemegang saham MNO, iaitu CelcomDigi Bhd, Maxis Bhd dan YTL Power International Bhd, telah menyediakan pendahuluan tambahan pemegang saham sebanyak RM116.7 juta secara tunai dan pada masa sama mengekalkan pegangan masing-masing pada 19.44 peratus dalam DNB.

Pelaburan terkumpul setiap MNO kini berjumlah RM350 juta, termasuk pendahuluan terdahulu sebanyak RM233.2 juta.

Menerusi nota penyelidikan hari ini, bank pelaburan itu menjelaskan suntikan modal itu dijangka dapat mengurangkan beban faedah DNB bagi pinjaman belum bayar daripada Kementerian Kewangan (MOF).

“Pendahuluan pemegang saham ini bertujuan menyokong operasi 5G DNB, mengukuhkan kedudukan kewangan syarikat, dan menampung keperluan modal kerja.

“Tiada sumbangan tunai lagi diperlukan daripada MoF, yang memegang 41.7 peratus kepentingan dalam DNB, memandangkan bahagiannya akan dianggap telah disumbangkan melalui pinjaman sedia ada sebanyak RM450 juta.

“Sehubungan itu, baki pinjaman belum bayar kepada MoF telah dikurangkan kepada RM199.8 juta,” tambahnya.

Kenanga IB memberi saranan ‘neutral’ susulan perkembangan itu kerana pendahuluan tambahan yang sederhana tersebut hanya memberi kesan kecil kepada lembaran imbangan CelcomDigi dan Maxis.

“Berasaskan andaian pembiayaan sepenuhnya melalui tunai dalaman, kesan kadar hutang adalah minimum, dengan anggaran hutang bersih berbanding pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat sedikit kepada 2.27 kali bagi CelcomDigi (daripada 2.25 kali), dan 2.11 kali bagi Maxis (daripada 2.08 kali).

“Selain itu, sekiranya MNO keluar daripada DNB pada masa hadapan, pendahuluan pemegang saham terkumpul masing-masing boleh diimbangi dengan fi perjanjian akses 5G akan datang yang perlu dibayar kepada DNB.

“Ini, pada tahap tertentu, dapat mengurangkan risiko kerugian kewangan bagi pemegang saham yang keluar,” tambahnya.

-- BERNAMA