BERITA TERKINI   PM Anwar mahu projek pembinaan Kolej Matrikulasi Terengganu di Marang disegerakan | Kerajaan fokus projek dan program pendidikan berkualiti demi menjamin masa depan golongan muda - PM Anwar | Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turun 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

ASEAN-BAC Cadang Tubuh Kumpulan Kerja CSR Bagi Selaras Aktiviti Serantau

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) mencadangkan penubuhan Kumpulan Kerja tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi memacu penjajaran serantau, menambah baik pengawasan, dan memangkinkan sumbangan sektor swasta yang lebih besar di seluruh  rantau ini. 

Ia merupakan saranan utama yang dikemukakan dalam ‘CSR in ASEAN Report’’, iaitu pelan tindakan komprehensif pertama seluruh rantau bagi mengukuhkan sumbangan korporat dan kedermawanan merentas sempadan di ASEAN.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengerusi ASEAN-BAC Tan Sri Nazir Razak berkata cadangan Kumpulan Kerja CSR itu merupakan cara praktikal untuk menyelaraskan piawaian, mengukuhkan pengawasan dan menggerakkan sektor swasta sebagai kuasa pembangunan yang saksama.

“Kami boleh menjadikan CSR sebagai kuasa strategik bagi pertumbuhan mampan dan inklusif di ASEAN, dan ia juga sangat seiring dengan tema Kepengerusian ASEAN kerajaan Malaysia pada 2025,” katanya.

Kumpulan Kerja CSR yang dicadangkan juga boleh bertindak sebagai platform serantau yang berdedikasi, menghimpunkan wakil daripada kerajaan, perniagaan dan masyarakat sivil.

“Peranan kumpulan kerja ini adalah untuk menjelaskan definisi CSR, menyelaraskan piawaian pendedahan, menggalakkan pembolehan dasar dan insentif, serta memastikan sumbangan digunakan secara lebih strategik untuk kesan yang maksimum,” kata ASEAN-BAC.

Sementara itu, ‘CSR in ASEAN Report’ ditauliahkan oleh ASEAN-BAC Malaysia dengan penyelidikan dijalankan oleh Centre for Asian Philanthropy and Society (CAPS), dan ia merupakan bahagian utama dalam Rangka Kerja Filantropi Korporat ASEAN, iaitu salah satu daripada 12 inisiatif utama di bawah Kepengerusian ASEAN-BAC Malaysia pada tahun 2025.

-- BERNAMA