U Mobile Lancar Liputan 5G Dalam Bangunan Melalui ULTRA5G Di Berjaya Times Square
KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- U Mobile Sdn Bhd hari ini telah melancarkan perkhidmatan liputan dalam bangunan (IBC) terkini, ULTRA5G, yang direka untuk menyampaikan pengalaman 5G yang mantap serta konsisten di persekitaran dalaman dan luaran.
Ketua Pegawai Teknologi, Woon Ooi Yuen, berkata syarikat itu komited untuk melengkapkan sebanyak 170 bangunan dengan liputan ULTRA5G pada tahun depan dan sehingga 600 bangunan dalam tempoh empat tahun akan datang.
"Pelancaran ini menandakan permulaan pelancaran rangkaian 5G generasi akan datang U Mobile, dengan sasaran pemasangan untuk mencapai liputan 80 peratus kawasan penduduk (CoPA) menjelang separuh kedua 2026.
"Kami telah memasang ULTRA5G di lebih daripada 70 bangunan sekarang ini tetapi gelombang di Berjaya Times Square Mall adalah yang pertama dilancarkan, ia juga merupakan ibu pejabat kami," katanya pada acara pelancaran hari ini.
Selain dari Berjaya Times Square, liputan rangkaian 5G syarikat telekomunikasi itu juga disediakan di Jambatan Pulau Pinang 1, menghubungkan sepanjang jambatan melalui dua menara bagi menyampaikan pengalaman sambungan yang lancar untuk pengguna lebuh raya itu.
"Sebaik sahaja kami mencapai 80 peratus CoPA dengan ULTRA5G dalam tempoh satu tahun, kami akan mengalihkan tumpuan kami ke arah mencapai sasaran seterusnya iaitu sebanyak 90 peratus CoPA, yang akan merangkumi kawasan luar bandar di seluruh negara," tambah Woon.
U Mobile turut merancang untuk menyediakan kemas kini tetap mengenai ketersediaan ULTRA5G, dengan penggunaan rangkaian pantas yang bertujuan meliputi lokasi strategik seperti lapangan terbang, hospital, pusat konvensyen serta lain-lain kawasan dalaman dan luaran yang berimpak tinggi.
"Ini selaras dengan komitmen syarikat bagi menyampaikan rangkaian 5G yang paling luas di Malaysia. Dengan kemajuan pemasangan yang lebih awal daripada jadual, U Mobile juga sedang menggandakan liputan dalaman untuk memastikan pengalaman 5G yang lancar dan konsisten di seluruh negara," katanya.
-- BERNAMA