BERITA TERKINI   Piala FA: Kelantan TRW 3-1 KL City | Piala FA: Negeri Sembilan 5-0 PDRM | Sektor pembuatan bukan sektor masa lepas - Ia adalah sektor masa hadapan - PM Anwar  | Sektor pembuatan Malaysia bersedia untuk berkembang maju dalam era baharu ini melalui kerjasama dan dasar yang tepat - PM Anwar | 

Kerajaan Tidak Laksana Projek Mega, Fokus Perbelanjaan Untuk Rakyat

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Kerajaan memilih untuk tidak melaksanakan projek mega yang memberi kesan terhad kepada rakyat dalam masa terdekat setelah mengambil kira ketidaktentuan ekonomi global, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

“Pendekatan kerajaan adalah untuk menyalurkan perbelanjaan dalam program-program yang benar-benar memanfaatkan kehidupan rakyat seperti pembaikan sekolah dan klinik luar bandar yang turut menjana limpahan ekonomi dan menyediakan peluang perniagaan untuk usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana,” kata beliau ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat hari ini.

Amir Hamzah turut berkata peningkatan prospek pertumbuhan dalam tempoh RMK-13 disokong oleh pelaburan awam dengan komitmen sebanyak RM611 bilion merangkumi peruntukan perbelanjaan pembangunan (RM430 bilion), pelaburan langsung domestik oleh syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (RM120 bilion) dan pelaksanaan projek perkongsian awam swasta (RM61 bilion).

“Meskipun ruang fiskal yang diwarisi adalah terhad, Kerajaan MADANI telah memanfaatkan segala sumber yang ada dengan sebaik mungkin untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat sungguhpun keadaan ekonomi dunia semakin mencabar. 

“Langkah-langkah penambahbaikan tadbir urus telah diperkenalkan untuk memastikan setiap sen yang dikutip dibelanjakan secara berhemah demi menarik lebih banyak pelaburan ke Malaysia serta menambah baik taraf hidup dan mata pencarian rakyat,” katanya.

-- BERNAMA