BERITA TERKINI   Anak syarikat milik penuh Maxis Bhd, Maxis Broadband Sdn Bhd menyediakan pendahuluan pemegang saham tambahan sebanyak RM202 juta kepada Digital Nasional Bhd | Piala Thomas: Jepun 1 Malaysia 0: Kodai Naraoka tewaskan Leong Jun Hao 21-11, 21-15 | Piala Uber: Malaysia akan berdepan juara bertahan China di peringkat suku akhir | Pelarasan perbelanjaan akan dibuat tanpa menjejaskan perkhidmatan kritikal kepada rakyat dan kestabilan ekonomi - MOF | Panduan dikeluarkan kepada kementerian, agensi untuk susun semula keutamaan perbelanjaan mengurus, selaras cabaran krisis bekalan global, peningkatan tanggungan subsidi - MOF | 

Niaga Hadapan Emas Ditutup Tinggi Sejajar Dengan Pasaran Comex AS

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives (BMD) ditutup tinggi pada Isnin, mencerminkan pasaran emas COMEX Amerika Syarikat (AS) di tengah-tengah hasil Perbendaharaan AS yang lebih rendah.

Dalam pada masa yang sama, para peniaga menantikan hasil pertemuan antara Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky dengan Presiden AS Donald Trump.

Selain itu, petunjuk daripada minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang akan dikeluarkan pada 21 Ogos turut dinanti-nantikan kerana pemain pasaran dilihat yakin bahawa Rizab Persekutuan AS akan menurunkan kadar faedah pada mesyuarat September nanti.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Ogos 2025 naik kepada US$3,348.50 setiap auns troy daripada US$3,344.10 setiap auns troy pada Jumaat minggu lepas.

Kontrak September 2025 meningkat kepada US$3,353.90 setiap auns troy daripada US$3,349.50 pada Jumaat, kontrak Oktober 2025 menokok sedikit kepada US$3,383.30 setiap auns troy daripada US$3,378.90 sebelum ini, manakala kontrak November 2025 menambah kepada US$3,400.10 setiap auns troy daripada US$3,395.70 sebelumnya.

Sementara itu, kontrak Disember 2025, Februari 2026 dan April 2026 semuanya ditutup lebih tinggi kepada US$3,419.70 setiap auns troy daripada US$3,415.20 pada Jumaat.

Jumlah dagangan melonjak kepada 11 lot daripada empat lot pada Jumaat lepas, manakala kepentingan terbuka turut meningkat kepada 45 kontrak daripada 38 kontrak sebelum ini.

Harga emas fizikal berada pada US$3,335.50 setiap auns troy berdasarkan penetapan oleh London Bullion Market Association pada 15 Ogos, 2025.

-- BERNAMA