Keuntungan Bersih 99 Speed Mart Melonjak 22 Peratus Kepada RM153 Juta
KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd untuk suku kedua berakhir 31 Dis 2025 melonjak sebanyak 22.1 peratus kepada RM153.21 juta berbanding RM125.53 juta yang dicatatkan dalam tahun sebelum ini.
Pendapatan meningkat 11.9 peratus kepada RM2.71 bilion daripada RM2.42 bilion.
Peruncit itu melalui satu kenyataan hari ini berkata prestasi yang lebih kukuh ini sebahagiannya telah didorong oleh penambahan bersih sejumlah 248 cawangan, menjadikan jumlahnya kepada 2,894 setakat 30 Jun 2025 berbanding 2,646 tahun sebelumnya.
"Jumlah urus niaga jualan meningkat 13.2 peratus kepada 128.9 juta, dengan saiz bakul purata pada RM21.0," katanya.
Untuk selama enam bulan yang berakhir pada 31 Disember 2025, keuntungan bersih naik 14.6 peratus kepada RM296.39 juta daripada RM258.69 juta, manakala pendapatan menokok 9.7 peratus kepada RM5.32 bilion berbanding RM4.85 bilion sebelum ini.
Ketua Pegawai Eksekutif 99 Speed Mart, Lee Thiam Wah berkata keputusan yang mantap ini mencerminkan strategi pengembangan syarikat yang konsisten melalui tumpuan kepada peningkatan pengalaman pembeli melalui kemudahan dan aksesibiliti yang lebih meluas.
99 Speed Mart kini mengendalikan 2,894 cawangan, dengan semua kedai dibuka dari 9 pagi setiap hari bagi melayani lebih banyak pelanggan.
"Sebagai sebahagian daripada strategi nilai jangka panjang kami, kami telah melancarkan siri '4 item untuk RM10' di seluruh negara, yang disokong oleh zon nilai hari-hari yang berdedikasi yang memaparkan sekurang-kurangnya 40 produk terpilih di seluruh kategori utama. Inisiatif ini menawarkan nilai yang lebih besar selain membantu isi rumah yang mahu berjimat mnguruskan keperluan harian mereka.
"Kami percaya siri ini bukan sahaja sejajar dengan tabiat membeli-belah sesetengah pelanggan tetapi akan menggalakkan perbelanjaan keseluruhan," katanya.
Lee ketika mengulas mengenai masa depan memberitahu syarikat itu tetap optimis untuk mengekalkan pertumbuhan, disokong oleh pengembangan cawangan yang berterusan dan program runcit yang inovatif dalam memenuhi keperluan pelanggan yang berkembang.
Lembaga pengarah syarikat itu telah mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak RM0.0225 setiap saham biasa, berjumlah kira-kira RM189.0 juta, pada 15 Mei 2025 bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025. Dividen ini dibayar menjelang 9 Jun 2025 kepada para pemegang saham berekod pada 29 Mei 2025, katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
-- BERNAMA