BERITA TERKINI   Piala FA: Kelantan TRW 3-1 KL City | Piala FA: Negeri Sembilan 5-0 PDRM | Sektor pembuatan bukan sektor masa lepas - Ia adalah sektor masa hadapan - PM Anwar  | Sektor pembuatan Malaysia bersedia untuk berkembang maju dalam era baharu ini melalui kerjasama dan dasar yang tepat - PM Anwar | 

Sektor Pembuatan Malaysia Sedia Berkembang Maju Dengan Kerjasama, Dasar Tepat- PM Anwar

PETALING JAYA, 18 Ogos (Bernama) -- Sektor pembuatan Malaysia bersedia untuk berkembang maju dalam era baharu ini melalui kerjasama dan dasar yang tepat serta kepimpinan ASEAN yang menyediakan platform untuk pertumbuhan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menekankan bahawa perjalanan ini bukan semata-mata untuk kerajaan memandangkan kerjasama antara kerajaan, industri dan pihak berkepentingan utama adalah penting.

“Melalui kerjasama inilah masa depan ekonomi Malaysia akan dibentuk.

“Ingin saya tegaskan bahawa sektor pembuatan bukanlah sektor yang ketinggalan. Ini adalah sektor masa depan. Ia membentuk asas kukuh untuk kami membina keteguhan ekonomi dan daya tahan negara,” kata beliau dalam ucaptama menerusi video sempena Majlis Makan Malam Tahunan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) 2025 di sini malam ini.

Menurut Anwar pada masa ini sektor pembuatan tidak lagi bertumpu kepada barisan pengeluaran, malah berintegrasi dengan mendalam bersama-sama rantaian bekalan global, sistem inovasi dan pembangunan tenaga kerja.

“Perubahan ini bukan sahaja perlu, malah strategik dan penting dalam usaha merekayasa semula industri ini supaya lebih berdaya saing di peringkat global,” kata Perdana Menteri.

Dalam mengharungi cabaran ini, Anwar berkata negara perlu sentiasa berwaspada dan tangkas.

“Sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini, Malaysia mempunyai peluang unik untuk menerajui usaha memacu kerjasama serantau dan integrasi ekonomi.

“Dalam era nyahglobalisasi dan perubahan aliran perdagangan, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat berikutan lokasi kami yang strategik, infrastruktur yang mantap dan kecemerlangan dalam pembuatan," kata Anwar.

Perdana Menteri turut menekankan kepentingan untuk memastikan dasar perdagangan bebas dan adil yang menyokong peluang pertumbuhan saksama.

“Dengan memperdalam integrasi ekonomi dalam ASEAN -- penjajaran piawaian peraturan, penambahbaikan infrastruktur rentas sempadan dan peningkatan kesalinghubungan, Malaysia boleh muncul sebagai hab pembuatan serantau yang sangat diperlukan.

“Kami mahu Malaysia diiktiraf sebagai hab serantau berteraskan amanah, bakat dan transformasi -- dengan perniagaan boleh beroperasi dengan cekap, berkembang secara bertanggungjawab dan terus berinovasi,” kata Anwar.

Pada masa yang sama, beliau menegaskan keperluan untuk membangunkan keupayaan tempatan yang menepati piawaian global.

“Pelaburan dalam teknologi maju seperti automasi dan kecerdasan buatan, memperteguh asas bekalan domestik serta menambah kemahiran tenaga kerja akan memastikan bakat Malaysia kekal berdaya saing di peringkat global,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata kerajaan memberi keutamaan kepada pelaburan bersasar dalam pembangunan tenaga kerja, pemodenan infrastruktur dan inovasi, sebagai langkah praktikal untuk membantu sektor pembuatan beralih kepada trajektori yang lebih bernilai tambah dan mampan.

-- BERNAMA