Bursa Malaysia Tinggi Pada Tengah Hari
Oleh Zarul Effendi Razali
KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia tinggi semasa mengakhiri sesi dagangan pagi ini, disokong oleh pembelian berterusan dalam utiliti terpilih serta kaunter produk dan perkhidmatan perindustrian dalam persekitaran sentimen berhati-hati dalam pasaran serantau, kata seorang penganalisis.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 7.98 mata kepada 1,592.94 daripada 1,584.96 ketika ditutup semalam.
Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 2.47 mata kepada 1,587.43, bergerak antara 1,584.62 dan 1,594.40 sepanjang sesi.
Lingkungan pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter untung sebanyak 438 berbanding 411, manakala 474 kaunter tidak berubah, 1,263 kaunter tidak diniagakan dan enam yang lain digantung.
Jumlah dagangan mencecah 1.59 bilion unit bernilai RM1.34 bilion.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks penanda aras tempatan dijangka berlegar dalam julat 1,580-1,590 hari ini dalam persekitarab sentimen global yang berhati-hati.
“Wall Street ditutup tidak berubah kerana kebanyakan peniaga berada di luar pasaran menjelang ucapan Jerome Powell pada sidang kemuncak Jackson Hole Rizab Persekutuan (Fed) AS akhir minggu ini.
"Sementara itu, kami mendapati harga minyak sawit mentah (MSM) meningkat dengan baik sehingga melebihi RM4,500 satu tan metrik berikutan permintaan dari India meningkat. Sama ada ini mampan..kita perlu tunggu dan lihat kemudian," katanya kepada Bernama hari ini.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan IHH Healthcare menambah 3.0 sen masing-masing kepada RM9.81 dan RM6.85, Public Bank naik 1.0 sen kepada RM4.47, Tenaga Nasional meningkat 20 sen kepada RM13.82 dan CIMB menokok 5.0 sen kepada RM7.38.
Bagi saham aktif, Velesto dan TWL naik 0.5 sen masing-masing kepada 19 sen dan 3.0 sen, Tanco turun 0.5 sen kepada 73 sen manakala Zetrix turut merosot 3.0 sen kepada 87 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 50.92 mata kepada 11,829.72, Indeks FBMT 100 meningkat 53.27 mata kepada 11,615.86, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 52.32 mata kepada 11,745.95, Indeks FBM 70 menambah 54.90 mata kepada 16,729.47 manakala Indeks FBM ACE turun 14.56 mata kepada 4,699.66.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 62.15 mata kepada 18,192.52, Indeks Perladangan menguncup 1.94 mata kepada 7,532.82, serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.86 mata kepada 159.21 manakala Indeks Tenaga melonjak 10.37 mata kepada 748.72.
-- BERNAMA