BERITA TERKINI   PM Anwar zahir simpati kepada lebih 50 mangsa terlibat dalam kejadian titi gantung runtuh di Lata Rek, Kuala Krai - PMO | PM Anwar arah peruntukan disediakan bagi ganti titi gantung di Lata Rek, Kuala Krai, Kelantan yang runtuh semalam - PMO | Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim dilantik Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian berkuat kuasa 1 Jan 2026 hingga 31 Dis 2028 - Azalina | Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian ditubuh bagi memandu hala tuju keselamatan dalam talian negara - Azalina | Pelabuhan Tanjung Pelepas catat peningkatan 14 peratus pengendalian kontena kepada 14.03 juta TEUs pada 2025, menjadi terminal kontena pertama di Malaysia lepasi paras 14 juta TEUs | 

Pahang Bangun Kompleks Limbungan Kapal Hibrid RM75 Bilion Di Pekan

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (BERNAMA) -- Kerajaan negeri Pahang melalui Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Pahang dengan kerjasama Teroka Majubina Holdings Bhd hari ini memeterai perjanjian pajakan bagi pembangunan Kompleks Limbungan Kapal Hibrid Tanjung Agas di Pekan, Pahang.

Pembangunan kompleks berkenaan dengan nilai pelaburan keseluruhan RM75 billion.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata projek berimpak tinggi ini melibatkan kawasan seluas 408.92 hektar.

"Projek itu akan dijalankan dalam tempoh lapan bulan dari sekarang dan kompleks ini akan dibangunkan secara berfasa yang merangkumi tiga komponen utama iaitu kitar semula kapal hijau sebagai pusat kitar semula kapal berteknologi hijau.

"Komponen kedua iaitu kemudahan pembinaan kapal iaitu menyediakan kemudahan pembinaan dan penyelenggaraan kapal manakala komponen ketiga iaitu kemudahan simpanan minyak di pelantar minyak yang menyediakan kemudahan penyimpanan minyak dan gas," katanya pada pemberita selepas majlis memeterai perjanjian itu di sini hari ini.

Beliau berkata, pembangunan mega ini dijangka mampu mewujudkan sehingga 25,000 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia khususnya anak-anak Pahang, sekali gus memberi limpahan manfaat besar kepada ekonomi negeri dan negara.

"Dengan terbinanya Kompleks Limbungan Kapal Hibrid ini, Pahang akan muncul sebagai hab maritim serantau dan pusat kitar semula kapal berteknologi hijau serta hab minyak dan gas yang berdaya saing di rantau ini.

"Selain itu, projek ini juga bakal menjadi pemangkin utama agenda pembangunan negeri selari dengan gagasan Aspirasi Pahang First dan pelaksanaan Pelan Induk Ekonomi Negeri Pahang 2025-2030 (PET30)," katanya.

Beliau berkata, melalui kedua-dua gagasan ini, Pahang disasarkan muncul sebagai sebuah negeri yang berdaya tahan, berpendapatan tinggi, terangkum serta memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat.

"Saya amat berharap agar pembinaan projek ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan mengikut jadual seterusnya menjadikan Kompleks Limbungan Kapal Hibrid Tanjung Agas sebagai mercu tanda baharu kemajuan negeri Pahang," tambahnya.

Majlis tersebut turut disaksikan Tengku Arif Bendahara Pahang, Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

-- BERNAMA