Aeon Co, Aeon Credit Tubuh JVCo Bagi Kendali Platform Kesetiaan Pelanggan Bersatu

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Aeon Co (M) Bhd and Aeon Credit Service (M) Bhd bercadang untuk menubuhkan dan menggabungkan syarikat usaha sama (JVCo) bagi menguruskan program kesetiaan pelanggan bersatu dan membolehkan keupayaan pengurusan digital di seluruh kumpulan Aeon di Malaysia. 

Aeon Co dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata bagi melaksanakan inisiatif ini, kedua-dua syarikat telah memeterai perjanjian JV dan pemegang saham. 

Katanya, modal berbayar permulaan sebanyak RM50 juta akan disumbangkan oleh kedua-dua pihak dalam jumlah yang berkadar dengan pegangan saham masing-masing, dengan Aeon Credit memegang 51 peratus kepentingan dan Aoen Co sebanyak 49 peratus kepentingan.

“JVCo akan menguruskan program kesetiaan pelanggan bagi kumpulan Aeon dan seterusnya mengembangkan perniagaan kepada perkongsian luaran, (dengannya) hasil yang akan diperoleh daripada yuran yang dikenakan bagi pengurusan mata kesetiaan, analisis data, pengiklanan multimedia dan perkhidmatan platform,” katanya.

Aeon Co berkata penubuhan JV yang dicadangkan itu akan membolehkan kedua-dua entiti menggabungkan kepakaran dan sumber mereka, membolehkan pendekatan kerjasama bagi melabur, membangunkan dan meningkatkan platform kesetiaan pelanggan yang kompetitif. 

“Selain daripada sebarang perkara yang tidak dijangka, JV yang dicadangkan itu dijangka mula beroperasi menjelang suku keempat 2025,” tambahnya. 

-- BERNAMA