BERITA TERKINI   Pindaan Akta MARA sedia untuk dibentang kepada jemaah menteri dalam tempoh tiga minggu - TPM Ahmad Zahid | Malaysia mempunyai simpanan gas mencukupi untuk sokong pertumbuhan industri - Johari Ghani | Pasaran semikonduktor global diunjurkan mencecah AS$1 trilion menjelang 2030, beri potensi manfaat ekonomi kepada Malaysia - Johari Ghani | Dua lelaki maut, tiga lagi cedera dalam kemalangan di Simpang 3 Manik Urai Lama, Kuala Krai, pagi tadi - Bomba Kelantan | Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) rekod 506 kes sehingga semalam, 228 daripadanya libatkan penyelewengan diesel - Armizan | 

LHDN Bayar Balik Lebihan Cukai RM9.35 Bilion Kepada Tiga Juta Pembayar Cukai - MOF

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah mengeluarkan bayaran balik lebihan cukai berjumlah RM9.35 bilion kepada lebih tiga juta pembayar cukai sehingga 30 Jun, 2025, kata Kementerian Kewangan (MOF). 

Dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen hari ini, kementerian itu berkata daripada jumlah pembayar cukai yang terlibat, sebanyak 1.07 juta pembayar cukai telah menerima bayaran balik sepenuhnya yang berjumlah RM2.73 bilion.

Kementerian itu berkata demikian bagi menjawab soalan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) berhubung jumlah bayaran balik lebihan cukai yang tertunggak, faktor kelewatan dan tempoh masa pelaksanaannya.

MOF menambah bayaran balik cukai untuk syarikat, yang biasanya melibatkan jumlah lebih besar akan dibuat mengikut keutamaan dengan mendahulukan kes tertunggak lebih lama.

"Ini bagi memastikan semua pembayar cukai yang layak akan menerima sekurang-kurangnya sebahagian bayaran balik contohnya dalam tahun ini, manakala bakinya akan disalurkan sama ada dalam tahun yang sama atau pada tahun berikutnya berdasarkan kedudukan kewangan kerajaan," kata kementerian itu.

Sementara itu, MOF berkata pengenaan cukai jualan kepada barangan bernilai rendah (LVG) telah dilaksanakan bermula 1 Januari, 2024 dan tidak terlibat dalam skop semakan semula cukai jualan. 

LVG dikenakan ke atas semua barang dari luar negara yang bernilai kurang daripada RM500 dan dijual secara dalam talian atau melalui online platform (online marketplace) oleh penjual berdaftar. 

“Pengenaan cukai LVG tidak melibatkan barang yang dikilangkan secara tempatan,” kata kementerian itu bagi menjawab pertanyaan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN–Pagoh) mengenai strategi kerajaan menangani kesan peluasan SST terhadap kos sara hidup rakyat dan beban operasi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

--BERNAMA