BERITA TERKINI   Kejuaraan Kelab ASEAN 2025/2026: Buriram United 1-1 Selangor FC | 

Niaga Hadapan Emas Ditutup Rendah Berikutan Dolar AS Kukuh, Risiko Geopolitik Reda

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini, dipengaruhi oleh kekukuhan dolar AS dan peningkatan mengambil risiko berikutan ketegangan geopolitik baru-baru ini yang mula reda.

Pelabur juga sedang menunggu hasil mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat yang akan dikeluarkan malam ini serta simposium Rizab Persekutuan di Jackson Hole pada Jumaat untuk mendapatkan isyarat mengenai dasar monetari.

Pada penutupan dagangan, kontrak bulan semerta Ogos 2025 susut kepada US$3,324.90 setiap auns troy daripada US$3,337.40 pada Selasa.

Kontrak September 2025 berkurangan kepada US$3,330.30 setiap auns troy daripada US$3,342.80 semalam, Oktober 2025 rendah kepada US$3,359.80 setiap auns troy daripada US$3,372.20 sebelum ini dan November 2025 susut kepada US$3,376.60 setiap auns troy daripada US$3,3890.

Sementara itu, kontrak Disember 2025, Februari 2026 dan April 2026 masing-masing ditutup rendah pada US$3,396.30 setiap auns troy daripada US$3,408.60 pada Selasa.

Jumlah dagangan meningkat kepada 15 lot daripada tiga lot pada Selasa manakala kepentingan terbuka menokok kepada 51 kontrak daripada 38 kontrak sebelum ini.

Emas fizikal berharga pada US$3,334.45 setiap auns troy berdasarkan penetapan di London Bullion Market Association pada 19 Ogos.

-- BERNAMA