Trafik KLIA Naik 10 Peratus Didorong Pengembangan Rangkaian - MAHB
KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mencatatkan peningkatan 10.3 peratus untuk trafik penumpang antarabangsa pada Julai 2025, mencecah 3.9 juta berbanding 3.6 juta pada Jun.
Menurut Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam kenyataan hari ini, peningkatan itu sebahagiannya didorong oleh peluasan rangkaian termasuk pelancaran perkhidmatan tiga kali seminggu oleh Loong Air (GJ) antara Kuala Lumpur dan Xi’an, yang mengukuhkan hubungan KLIA dengan pasaran utama China.
Pengarah Urusan MAHB Datuk Mohd Izani Ghani berkata kesalinghubungan dengan China yang lebih kukuh membantu memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia yang lebih luas selain memperkukuh peranan KLIA sebagai hab pilihan di Asia Tenggara.
“Hubungan udara secara terus dengan bandar sedang pesat membangun seperti Xi’an bukan sahaja meningkatkan trafik penumpang, malah membuka peluang perdagangan dan pelaburan yang lebih luas.
“Ini meletakkan Malaysia sebagai pintu masuk penting bagi pergerakan antara China dan Asia Tenggara, menyokong pertumbuhan dalam sektor penerbangan, pelancongan dan perdagangan serta meningkatkan integrasi serantau,” katanya.
Dalam rangkaian lapangan terbang tempatan, Malaysia Airports mengendalikan 8.9 juta penumpang pada Julai, terdiri daripada 4.6 juta penumpang antarabangsa dan 4.3 juta penumpang domestik.
Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gökçen Istanbul, aset milik penuh kumpulan itu di Türkiye, mencatatkan 4.4 juta penumpang pada bulan tersebut, iaitu 2.3 juta penumpang antarabangsa dan 2.1 juta penumpang domestik.
Secara keseluruhan, lapangan terbang di bawah kumpulan itu mengendalikan sebanyak 13.3 juta penumpang pada Julai, meningkat 5.7 peratus daripada Jun.
-- BERNAMA