Labuan FSA Tekankan Pendirian Sifar Toleransi Melalui Ikrar Bebas Rasuah
LABUAN, 21 Ogos (Bernama) -- Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) mengesahkan komitmen Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), memaparkan prinsip tadbir urus kukuh dalam operasinya bagi memastikan persekitaran bebas rasuah di seluruh organisasi.
Labuan FSA kali pertama menandatangani ikrar ini pada 2022, dan pembaharuan ini melibatkan penyertaan anggota pengurusan dan kakitangan baharu yang telah dilantik.
Langkah ini mengukuhkan lagi komitmen kolektif Labuan FSA untuk memerangi rasuah dan memupuk budaya kebertanggungjawapan dan amalan sihat di seluruh organisasi.
Ketua Pengarahnya Affendi Rashdi berkata Labuan FSA mengamalkan pendirian sifar toleransi terhadap tingkah laku tidak beretika dan amalan rasuah.
Beliau berkata, mendukung tahap integriti, ketelusan dan kebertanggungjawapan yang tertinggi kekal sebagai teras kepada mandatnya sebagai pengawal selia pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa.
“Organisasi ini memberi penekanan kukuh kepada penerapan nilai murni dalam setiap pekerja, memastikan ketelusan dalam semua urusan, pematuhan tegas terhadap undang-undang dan peraturan, serta konsisten mendukung standard etika dan perlakuan tertinggi,” katanya pada majlis memeterai ikrar berkenaan di sini hari ini.
Affendi mengetuai bacaan ikrar itu yang dihadiri hampir 150 pekerja termasuk kakitangan anak syarikatnya, disaksikan oleh Pengarah SPRM Cawangan Labuan Muhammat Azis Malmod.
Bersempena majlis penandatanganan ikrar itu, Labuan FSA turut menganjurkan Forum Integriti bertajuk ‘Integriti Di Meja’ bagi mengukuhkan kesedaran dan kefahaman mengenai nilai integriti di seluruh organisasi.
Tiga ahli panel jemputan berkongsi pandangan mengenai integriti, kebertanggungjawapan dan perlakuan etika di tempat kerja serta menggalakkan warga kerja untuk menghayati nilai ini dalam membuat keputusan harian dan membudayakan rasa bertanggungjawab.
Rangka kerja antirasuah dan antisogokan Labuan FSA merangkumi inisiatif penting seperti Kod Tatakelakuan dan Etika Perniagaan, Garis Panduan Pengurusan Konflik Kepentingan, Garis Panduan Pemberi Maklumat, dan Polisi Pengurusan Hadiah, Hiburan serta Layanan Korporat.
Agensi berkenaan turut menubuhkan ‘Labuan FSA Speak Up Channel’, iaitu saluran aduan yang membolehkan kakitangan dan pihak berkepentingan melaporkan salah laku atau tingkah laku tidak beretika secara sulit.
Affendi berkata bagi mengukuhkan lagi usaha agensi itu, Labuan FSA sedang berusaha untuk mendapatkan Pensijilan Sistem Pengurusan AntiRasuah (ABMS) ISO 37001:2025 menjelang 2026 sebagai sebahagian daripada Pelan Antirasuah Organisasi (OACP 2.0) 2024-2026.
“Usaha untuk mendapat pensijilan ini menegaskan komitmen teguh organisasi dalam menerapkan budaya integriti dan tadbir urus yang baik.
“Integriti bukanlah tanggungjawab segelintir pihak, tetapi merupakan amanah bagi setiap individu. Ia bermula daripada kita, dalam keputusan yang kita laksanakan, dan daripadanya kita boleh memupuk budaya kerja yang bersih, beretika dan bertanggungjawab,” katanya.
Affendi sekali lagi menegaskan bahawa Labuan FSA mengamalkan dasar sifar toleransi terhadap tingkah laku tidak beretika dan amalan rasuah.
-- BERNAMA