BERITA TERKINI   Insiden kemalangan pesawat F/A-18D Hornet: juruterbang, pembantu juruterbang dilaporkan selamat - KP Pahang | Sebuah pesawat F/A-18D Hornet disahkan terlibat kemalangan di Pangkalan Udara Kuantan malam ini - TUDM | 

Lebih 30,000 Pekebun Kecil Di Sabah Terima Pensijilan MSPO - Hajiji

KOTA KINABALU, 21 Ogos (Bernama) – Lebih 30,000 pekebun kecil di Sabah, melibatkan lebih 191,000 hektar telah menerima pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sehingga April 2025, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, jumlah itu mewakili kadar pensijilan sebanyak 97.62 peratus, iaitu antara yang tertinggi di seluruh negara. 

Beliau berkata ia menunjukkan kemajuan kolektif dan menekankan mengenai kepentingan kerjasama berterusan antara agensi kerajaan, pemain industri dan pekebun kecil bagi mengekalkan serta mengembangkan pengeluaran minyak sawit yang mampan. 

Hajiji berkata amat penting bagi Malaysia untuk meningkatkan usaha pensijilan dan kebolehkesanannya untuk terus mengekalkan pengiktirafan dan kredibilitinya dalam kalangan pemegang kepentingan utama, di peringkat domestik dan antarabangsa, di tengah-tengah tekanan global mengenai rantaian bekalan bebas pembasmian hutan. 

“Di Sabah, kami telah mencapai kemajuan apabila kira-kira 97 peratus daripada kawasan penanaman dan lebih 92 peratus di Sarawak kini diperakui di bawah MSPO. Bagaimanapun, kita mesti terus berusaha untuk mencapai tahap 100 peratus, khususnya bagi pekebun kecil bebas. 

“Kami memang menyedari cabaran yang dihadapi oleh industri ini. Antaranya, memenuhi piawaian global yang semakin berkembang, memastikan integriti alam sekitar, dan bertindak terhadap tekanan pasaran yang menuntut tindakan proaktif serta inovatif,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Datuk Phoong Jin Zhe pada Forum Minyak Sawit Malaysia Timur di sini hari ini. 

Hajiji berkata kerajaan Sabah telah melaksanakan penyelesaian transformatif iaitu Pendekatan Bidang Kuasa untuk Minyak Sawit Lestari, yang dilancarkan pada 2015 untuk mencapai pengeluaran minyak sawit mampan yang diperakui 100 peratus di seluruh negeri menjelang 2030.

Pendekatan ini lebih bersifat pentadbiran. Ia juga merupakan mekanisme tadbir urus yang membolehkan semua pemain dalam rantaian nilai minyak sawit bekerjasama di bawah rangka kerja yang sama. 

“Ia menyelaraskan cita-cita Sabah dengan piawaian kebangsaan dan antarabangsa seperti MSPO, RSPO dan Peraturan Pembasmian Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), dan memastikan tiada pihak berkepentingan dipinggirkan, terutama pekebun kecil, yang menyumbang lebih 27 peratus daripada pengeluaran Sabah,” katanya. 

Hajiji berkata Sabah telah mengekalkan kepimpinannya dengan 1.48 juta hektar di bawah penanaman dan pengeluaran tahunan minyak sawit mentah (MSM) melebihi 4.2 juta tan.

Lebih 55 peratus daripada jumlah kawasan tanaman kelapa sawit negara terletak di Sabah dan Sarawak, menjadikan Malaysia sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia dan sumber utama rantaian bekalan mampan yang diurus dengan bertanggungjawab. 

Hajiji berkata kejayaan itu tidak berlaku sekelip mata, tetapi adalah hasil kerja keras selama beberapa dekad, daya tahan dan kerjasama merentas rantaian bekalan daripada pekebun kecil, pengilang, penapisan kepada peniaga, penyelidik dan penggubal dasar. 

“Ia merupakan bukti komitmen bersama kami untuk mengimbangi pembangunan ekonomi dengan penjagaan alam sekitar dan kemajuan sosial,” katanya sambil menambah bahawa ia bukan sekadar mengenai hektar dan tan, tetapi mengenai kehidupan yang sedang berubah. 

Industri minyak sawit secara langsung dan tidak langsung menjadi mata pencarian kepada lebih 300,000 rakyat Malaysia dan menyokong lebih 85,000 pekebun kecil. 

“Selain data ekonomi, ia telah membentuk semula landskap kawasan luar bandar, membawa bersamanya infrastruktur penting, daripada jalan raya, sekolah, klinik dan ketersambungan digital. Jika dahulu peluangnya amat terhad, tetapi dengan adanya kemajuan, ia menjanjikan masa depan yang lebih baik,” katanya.

Ketua Menteri turut menyatakan keyakinannya bahawa industri ini akan terus berkembang dan membina sektor minyak sawit yang bersedia untuk masa depan dan memanfaatkan Malaysia tetapi dunia menerusi pelaburan strategik, tadbir urus yang kukuh dan penyertaan berterusan dengan pihak berkepentingan.

-- BERNAMA