Keuntungan Bersih YTL Corp Turun Kepada RM1.88 Bilion Untuk Tahun Kewangan 2025
KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- YTL Corporation Bhd mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM1.88 bilion bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2025 daripada RM2.14 bilion pada tahun kewangan sebelumnya.
Bagaimanapun, hasil meningkat kepada RM30.82 bilion pada tahun kewangan 2025 berbanding RM30.49 bilion, kebanyakannya dikaitkan dengan perniagaan utiliti kumpulan itu, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Bagi suku keempat berakhir 30 Jun, 2025 (suku keempat 2025) keuntungan bersih kumpulan itu meningkat sedikit pada RM547.17 juta berbanding RM534.96 juta pada suku sama tahun sebelumnya, manakala hasil susut kepada RM7.67 bilion berbanding RM8.23 bilion.
YTL Corp berkata segmen utilitinya melaporkan hasil sebanyak RM5.19 bilion pada suku keempat berbanding RM5.96 bilion pada suku sama tahun sebelumnya, manakala keuntungan selepas cukai berjumlah RM841.3 juta berbanding RM812.6 juta sebelumnya.
Sementara itu, hasil segmen pembinaan kumpulan merosot kebanyakannya disebabkan hasil lebih rendah daripada projek luar, manakala segmen perkhidmatan pengurusan dan lain-lain serta operasi hotel mencatatkan hasil dan keuntungan sebelum cukai yang lebih tinggi.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan YTL Tan Sri Francis Yeoh Sock Ping dalam satu kenyataan berkata kumpulan itu terus mencatat keputusan kukuh pada suku keempat, masing-masing merekodkan lima peratus dan 40 peratus peningkatan dalam hasil dan keuntungan selepas cukai berbanding suku sebelumnya dengan prestasi lebih baik dipacu kebanyakannya oleh segmen utiliti.
YTL Corp juga mengisytiharkan dividen interim sebanyak lima sen sesaham biasa untuk tahun kewangan 2025 dengan book closure (tempoh apabila syarikat menutup sementara daftar pemegang sahamnya kepada penyertaan baharu atau pemindahan saham) dan tarikh pembayaran masing-masing ditetapkan pada 2 dan 23 Oktober, 2025.
-- BERNAMA