Ringgit Dibuka Tinggi Menjelang Ucapan Jerome Powell Di Jackson Hole
Oleh Karina Imran
KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar US dan sekumpulan mata wang utama pada Jumaat kerana pelabur menunggu petunjuk dasar daripada Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) pada Simposium Dasar Ekonomi Jackson Hole lewat hari ini.
Pada 8 pagi, ringgit diniagakan pada 4.2200/2400 berbanding dolar US daripada 4.2235/2275 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran bimbang mengenai apa yang akan akan diucapkan Pengerusi Fed AS Jerome Powell pada simposium malam ini.
"Ringgit naik berbanding dolar US sebanyak 0.04 peratus semalam. Justeru, kami menjangkakan ringgit berbanding dolar US akan kekal dalam julat kecil antara RM4.22 dan RM4.23 hari ini kerana peniaga dan pelabur menunggu penilaian terkini oleh Pengerusi Fed AS malam ini," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.41 peratus kepada 98.619, disokong oleh sentimen perniagaan yang bertambah baik dicerminkan dalam data Indeks Pengurus Pembelian Komposit (PMI).
PMI Flash AS meningkat kepada paras tertinggi lapan bulan pada 55.4, disokong oleh pertumbuhan mampan dalam sektor perkhidmatan dan aktiviti yang bertambah baik dalam industri pembuatan.
“Bagaimanapun, respons dalam tinjauan menunjukkan bahawa tarif import lebih tinggi menjejaskan struktur dan margin kos dengan kebanyakan perniagaan merancang untuk mengenakan kos tambahan kepada pengguna,” tambahnya.
Pada pembukaan, ringgit diniagakan tinggi berbanding beberapa mata wang utama.
Unit tempatan naik berbanding pound Britain kepada 5.6616/6884 daripada 5.6899/6953 pada Khamis, meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.8431/8568 daripada 2.8595/8626 dan melonjak berbanding euro kepada 4.8998/9231 daripada 4.9226/9263.
Pada masa sama, mata wang tempatan didagangkan tinggi berbanding mata wang negara anggota ASEAN bagaimanapun ia tidak berubah berbanding peso Filipina pada 7.40/7.44.
Ia menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.2741/2899 daripada 3.2819/2853 ketika ditutup pada Khamis, menambah berbanding baht Thailand kepada 12.9139/9822 daripada 12.9460/9638 dan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 259.0/260.4 daripada 259.2/259.6 sebelumnya.
-- BERNAMA