MATRADE, Kerajaan Selangor Perkukuh Kerjasama, Anjur Hari Eksport, Tingkat Eksport Tempatan
KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Hari Eksport Selangor 2025 edisi ketiga pada Isnin dan Selasa ini dijangka menghimpunkan lebih 200 usahawan dan syarikat terutama perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) daripada pelbagai sektor industri di negeri itu.
Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dalam kenyataan memaklumkan program itu berpotensi membuka peluang bagi usahawan meneroka dan mengembangkan pasaran eksport, sekali gus mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai antara negeri pengeksport utama negara.
Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata dengan nilai eksport mencecah RM357.06 bilion pada 2024 dan peningkatan eksport sebanyak 7.3 peratus berbanding tahun sebelumnya, Selangor terus menjadi pemacu utama dalam aspirasi perdagangan negara
“Hari Eksport Selangor bukan sekadar satu program usahawan biasa, ia merupakan platform untuk para usahawan saling berhubung, berkongsi idea, berinovasi dan mencetuskan idea dan inspirasi.
“Saya menyeru semua usahawan terutamanya di Selangor untuk merebut peluang berharga ini bagi mendapatkan informasi-informasi terkini berkaitan eksport dalam mempersiapkan diri ke pasaran global,” katanya dalam kenyataan sama.
Hari Eksport Selangor 2025 yang akan diadakan di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, Shah Alam itu, merupakan program kerajaan Selangor menerusi Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melalui Bahagian Pembangunan Usahawan dengan kerjasama MATRADE.
Menurut MATRADE, program itu akan dirasmikan Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Mohd Najwan Halimi dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Korporat) PKNS Suhaimi Kasdon serta bakal dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Seri Mohd Mustafa Abdul Aziz.
Program dua hari itu bakal menampilkan pelbagai aktiviti termasuk klinik khidmat nasihat pengeksport, taklimat peluang pasaran antarabangsa, sesi perkongsian kisah kejayaan pengeksport serta kemudahan kewangan dan geran untuk pengeksport.
Mohd Najwan dalam kenyataan sama berkata PMKS adalah tulang belakang ekonomi negeri dan dengan sokongan strategik serta pendedahan kepada pasaran global, mereka mampu melonjakkan potensi eksport yang lebih mampan.
“Dalam era ekonomi digital hari ini, saya percaya bahawa keupayaan usahawan untuk mengadaptasi teknologi baharu, memanfaatkan e-Dagang dan menggunakan data pasaran akan menjadi penentu daya saing mereka.
“Justeru, usaha kolaboratif antara MATRADE dan kerajaan negeri melalui Hari Eksport Selangor ini penting untuk memastikan PMKS kita bukan sahaja bertahan, malah mampu berkembang pesat sebagai pengeksport berdaya saing di peringkat global,” katanya.
-- BERNAMA