BERITA TERKINI   Pengendalian dron tanpa kelulusan boleh datangkan risiko keselamatan, tindakan di bawah Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016 - CAAM | Aktiviti dron, pesawat tanpa pemandu dilarang di kawasan terlibat dengan raptai dan sambutan Hari Kebangsaan - CAAM | Hari Kebangsaan: Ruang udara kawasan kawalan Terminal Kuala Lumpur ditutup pada 26-29 Ogos dan 31 Ogos - CAAM | Kesan pelaksanaan penyasaran subsidi elektrik dan diesel membolehkan kerajaan mempunyai ruang fiskal lebih luas biayai program kebajikan rakyat - Amir Hamzah | Kerajaan dalam fasa akhir memperhalusi kriteria kelayakan dan kaedah pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 dengan semua pihak berkepentingan - Amir Hamzah | 

Ringgit Tinggi Berbanding Dolar AS Selepas Fed Beri Petunjuk Penurunan Kadar Faedah Pada Sept

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Ringgit meningkat semula, dibuka tinggi berbanding dolar AS pada Isnin selepas Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) Jerome Powell memberi petunjuk mengenai kemungkinan penurunan kadar faedah pada September.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan meningkat 210 peratusan dalam mata (pip) kepada 4.2035/2270 daripada 4.2245/2295 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata jangkaan terhadap penurunan kadar faedah pada September semakin tinggi selepas kenyataan Powell di Simposium Dasar Ekonomi Jackson Hole pada Jumaat lepas.

Beliau berkata pendirian dasar monetari yang ketat mungkin memerlukan pelarasan mengambil kira prospek ekonomi yang berubah dan keseimbangan risiko yang tidak statik,” katanya kepada Bernama.

Pelabur telah meningkatkan jangkaan terhadap penurunan kadar faedah pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada 16 hingga 17 September.

Mohd Afzanizam berkata hasil Perbendaharaan AS jangka pendek merosot lebih banyak berbanding sekuriti jangka panjang.

“Hasil untuk tempoh dua tahun mencatatkan 3.68 peratus, berkurangan 11 mata asas pada Jumaat lepas manakala hasil 10 tahun susut tujuh mata asas kepada 4.26 peratus,” katanya.

Beliau berkata prospek mata wang pasaran sedang pesat membangun, termasuk ringgit dilihat lebih baik berbanding dolar dalam tempoh terdekat.

Pada masa yang sama, ringgit dibuka rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia merosot berbanding pound kepada 5.6781/7098 daripada 5.6659/6726 pada Jumaat lepas, berkurangan berbanding yen Jepun kepada 2.8545/8704 daripada 2.8408/8443 dan rendah berbanding euro kepada 4.9210/9485 daripada 4.8996/9054.

Ringgit bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN lain.

Ia mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 257.0/258.6 daripada 258.3/258.7 dan tinggi berbanding peso Filipina kepada 7.38/7.43 daripada 7.42/7.43.

Bagaimanapun, ringgit merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.2776/2962 daripada 3.2763/2805 dan berkurangan berbanding baht Thailand kepada 12.9602/13.0423 daripada 12.9387/9592 pada Jumaat lepas.

-- BERNAMA