BERITA TERKINI   Kesan pelaksanaan penyasaran subsidi elektrik dan diesel membolehkan kerajaan mempunyai ruang fiskal lebih luas biayai program kebajikan rakyat - Amir Hamzah | Kerajaan dalam fasa akhir memperhalusi kriteria kelayakan dan kaedah pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 dengan semua pihak berkepentingan - Amir Hamzah | Sultan Brunei berangkat tiba di Subang untuk Lawatan Negara empat hari ke Malaysia | Polis rampas dadah bernilai RM2.6 juta di Johor, sindiket pengedaran tumpas - KP Johor | Keuntungan bersih suku kedua 2025 Petronas Gas Bhd susut kepada RM450.19 juta berikutan hasil rendah sebanyak RM1.59 bilion berbanding RM1.65 bilion tahun lalu | 

Inflasi Diunjur Kekal Stabil, Pengurangan Subsidi Beri Impak Terhad

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Public Investment Bank Bhd (Public IB) hari ini mengekalkan unjuran inflasi keseluruhan bagi 2025 pada kadar 1.9 peratus tahun ke tahun manakala CIMB Securities Sdn Bhd menurunkan unjurannya dengan kedua-duanya menjangkakan langkah pengurangan harga bahan api yang dirancang memberi impak yang terhad.

Menerusi penyelidikannya hari ini, Public IB berkata kerajaan dijangka mengumumkan mekanisme rasionalisasi subsidi RON95 pada lewat September selain pengurangan harga runcit bahan api itu kepada RM1.99 seliter daripada RM2.05 seliter.

Susulan itu, bank pelaburan itu berkata langkah-langkah berkenaan selain kos domestik yang secara amnya stabil, tidak dijangka membawa perubahan ketara terhadap harga utama.

“Kami akan terus memantau potensi risiko kenaikan susulan daripada semakan semula struktur tarif elektrik Tenaga Nasional dan peluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang kedua-duanya berkuat kuasa pada Julai 2025 meskipun impak inflasi kekal sederhana,” katanya.

Bank pelaburan itu menyifatkan pelarasan berperingkat terhadap pelaksanaan levi pekerja asing dan peningkatan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dijadualkan bagi pekerja asing pada suku keempat 2025 (S4 2025), juga memberi sedikit tekanan dari segi peningkatan kos.

Sementara itu, CIMB Securities Sdn Bhd pula menurunkan unjuran inflasi bagi 2025 dan 2026 iaitu masing-masing pada 1.5 dan 2.0 peratus daripada 2.2 dan 2.5 peratus sebelum ini.

Unjuran bagi 2026 kekal dipengaruhi oleh perubahan dasar domestik, khususnya rasionalisasi subsidi harga runcit bahan api.

“Data terkini menunjukkan margin keuntungan perniagaan yang diukur melalui tebaran Indeks Harga Pengguna (IHP) dan Indeks Pengeluaran Industri (IPP) kekal positif, disokong oleh pengukuhan ringgit pada 2025 yang membantu meredakan tekanan kos import serta mengurangkan insentif pengeluar bagi melepaskan kos terbabit kepada pengguna.

“Rancangan pelarasan harga RON95 pula dijangka memberi impak terhad ke atas IHP keseluruhan berikutan petrol itu hanya menyumbang 5.5 peratus ke atas bakul (komponen) IHP,” katanya dalam nota penyelidikan.

-- BERNAMA