BERITA TERKINI   Pengendalian dron tanpa kelulusan boleh datangkan risiko keselamatan, tindakan di bawah Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016 - CAAM | Aktiviti dron, pesawat tanpa pemandu dilarang di kawasan terlibat dengan raptai dan sambutan Hari Kebangsaan - CAAM | Hari Kebangsaan: Ruang udara kawasan kawalan Terminal Kuala Lumpur ditutup pada 26-29 Ogos dan 31 OgosĀ - CAAM | 

RMK13 Pacu Pemerkasaan Ketersambungan Serantau, Perkukuh Ekonomi -- PM Anwar

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) --  Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) memberi penekanan kepada pemerkasaan ketersambungan serantau dengan memperhebat penglibatan dan peranan Malaysia di pentas ekonomi dunia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pengukuhan ini termasuk melalui pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), Grid Kuasa ASEAN, inisiatif ASEAN Connectivity by Rail dan Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC).

Menurut  Anwar, prakarsa ini merupakan antara tonggak utama untuk memastikan limpahan ekonomi dapat dinikmati secara lebih menyeluruh, selain meningkatkan daya saing negara sebagai pintu masuk pelaburan serantau.

“JS-SEZ merupakan kerjasama rentas sempadan yang berpotensi menjana ratusan ribu peluang pekerjaan dan memacu pertumbuhan industri bernilai tinggi.

“Pada masa sama, Grid Kuasa ASEAN dan AZEC akan mengukuhkan kerjasama tenaga dan peralihan hijau di rantau ini,” kata beliau ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) di Dewan Negara, hari ini.

Perdana Menteri berkata, RMK13 yang bertema Melakar Semula Pembangunan turut menetapkan agenda peralihan ekonomi berasaskan penciptaan nilai, termasuk memperkukuh rantaian bekalan strategik dalam sektor elektrik dan elektronik, halal, serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

Menurut beliau, dalam konteks pelaburan, RMK13 memerlukan dana berjumlah RM611 bilion, terdiri daripada peruntukan pembangunan kerajaan, pelaburan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan perkongsian awam-swasta (PPP), manakala pendidikan, kesihatan, perumahan dan infrastruktur asas menjadi sektor tumpuan utama.

Pembangunan wilayah dan desa juga diberi keutamaan bagi memastikan agihan ekonomi yang lebih adil, termasuk menerusi projek infrastruktur seperti Lebuhraya Pan Borneo, Rapid Transit System Link (RTS Link) Johor–Singapura, Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bukit Kayu Hitam serta laluan perdagangan Malaysia -Thailand, kata Anwar.

-- BERNAMA