Untung Bersih TH Plantations Meningkat Kepada RM11.79 Juta Bagi Suku Kedua

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih TH Plantations Bhd (THP) meningkat kepada RM11.79 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2025 daripada RM10.41 juta pada tempoh sama tahun kewangan 2024.

Perolehan juga melonjak sebanyak 11.10 peratus kepada RM220.02 juta daripada RM198.03 juta bagi tempoh yang sama,.

“Prestasi lebih baik ini didorong oleh jumlah jualan minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit yang lebih tinggi serta purata harga direalisasikan yang lebih tinggi bagi MSM, isirung sawit serta tandan buah segar (FFB),” jelasnya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun, 2025 THP merekodkan perolehan sebanyak RM399.14 juta, mewakili peningkatan sebanyak 12.33 peratus daripada RM355.33 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun sebelumnya.

“Peningkatan perolehan ini didorong terutama oleh purata harga direalisasikan yang lebih tinggi bagi MSM, isirung sawit dan FFB, walaupun jumlah jualan MSM dan FFB berkurangan,” tambah THP.

Dalam kenyataan berasingan, THP menjelaskan pihaknya kekal fokus untuk meningkatkan hasil dan kadar perahan melalui kecekapan operasi yang lebih baik, amalan agronomi baik, dan mempercepat pelaksanaan program penanaman semula yang dirancang.

THP juga sedang melaksanakan strategi jangka masa panjang untuk mengurangkan kebergantungan kepada buruh manual melalui peningkatan mekanisasi dan automasi, termasuk penggunaan dron di tapak semaian.

“Dalam melangkah maju, kami mengekalkan pandangan yang optimis namun waspada bagi separuh kedua tahun ini.

“Walaupun harga minyak sawit mungkin menghadapi tekanan daripada kemuncak musim pengeluaran yang dijangka dan peningkatan stok namun pertumbuhan pengeluaran yang perlahan di Malaysia serta permintaan biodiesel yang berterusan di pasaran utama seperti Indonesia dan Amerika Syarikat dijangka dapat memberi sedikit sokongan,” menurut THP.

THP memaklumkan tanpa mengambil kira keadaan luar jangka, pihaknya menjangkakan prestasi adalah memuaskan bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2025, disokong oleh pelaksanaan yang berdisiplin dan fokus kepada  penciptaan nilai jangka masa panjang.

-- BERNAMA