Niaga Hadapan FBM KLCI Ditutup Tinggi Sejajar Dengan Pasaran Tunai
KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi hari ini seiring dengan prestasi di pasaran tunai pendasar.
Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Ogos 2025 meningkat 5.0 mata kepada 1,609.0, September 2025 naik 4.0 mata kepada 1,586.5, Disember 2025 menokok 4.5 mata kepada 1,587.0, dan Mac 2025 menambah 6.5 mata kepada 1,571.0.
Jumlah dagangan melonjak kepada 30,966 lot daripada 7,050 lot pada Jumaat minggu lepas, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 70,159 kontrak daripada 45,470 kontrak.
Pada 5 petang, FBM KLCI meningkat 4.98 mata, atau 0.31 peratus, untuk ditutup kepada 1,602.45, daripada paras 1,597.47 pada Jumaat minggu lepas.
-- BERNAMA