BERITA TERKINI   Kerajaan fokus projek dan program pendidikan berkualiti demi menjamin masa depan golongan muda - PM Anwar | Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turunĀ 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

Kesan Keseluruhan Pelaksanaan SST Ke Atas Isi Rumah Dianggarkan Rendah, Terkawal - Timbalan Menteri Kewangan

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) --  Kesan keseluruhan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas isi rumah dianggarkan rendah dan terkawal, berdasarkan unjuran awal Kementerian Kewangan (MOF), kata Timbalan Menterinya Lim Hui Ying.

Beliau berkata ia disebabkan pelbagai kemudahan dan pengecualian telah diperkenalkan sebagai langkah mitigasi, bagi memastikan beban cukai diagihkan secara adil dan ditanggung oleh pihak yang mempunyai keupayaan.

“Masih terlalu awal untuk melihat impak keseluruhan pelaksanaan SST kepada rakyat, memandangkan pelaksanaan peluasan skop SST bermula pada 1 Julai, 2025.

“Namun, berdasarkan unjuran awal kementerian, kesan ke atas isi rumah dianggarkan rendah dan terkawal,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Ros Suryati Alang yang ingin mengetahui kesan pelaksanaan SST pada 1 Julai, 2025 kepada rakyat dan jika strategi SST telah membantu kerajaan menampung perbelanjaan operasi dan pembangunannya tanpa menambah pinjaman atau hutang.

Lim berkata pendekatan ini selaras dengan prinsip keadilan sosial dan fiskal serta menyokong aspirasi ekonomi MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat dan kelestarian negara.

Peluasan skop SST, kerajaan menjangka akan berupaya menjana hasil tambahan sebanyak RM5 bilion pada tahun ini, katanya.

“Tambahan hasil ini bersama pendekatan perbelanjaan yang optimum dan berhemah telah memperkukuh kedudukan kewangan negara, justeru membolehkan kerajaan menampung perbelanjaan operasi dan pembangunan tanpa perlu menambah pinjaman atau hutang tinggi.

“Peningkatan hasil cukai juga membolehkan kerajaan terus menyediakan subsidi bahan asas menerusi peruntukan subsidi kepenggunaan kepada sebahagian besar rakyat bagi meringankan kos sara hidup rakyat, antaranya melalui program Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR),” tambahnya.

-- BERNAMA