KPK Kemuka Permohonan Pengecualian SST CPKO Kepada Kementerian Kewangan - Timbalan Menteri

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) kini sedang mengemukakan permohonan pengecualian cukai kepada Kementerian Kewangan bagi minyak isirung sawit mentah (CPKO) dan minyak isirung olein, masing-masing dikenakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada kadar lima peratus.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin berkata maklum balas diterima daripada pihak industri sawit telah diteliti, kementerian turut mengadakan sesi libat urus bersama pihak industri bagi mendapatkan pandangan berhubung impak pelaksanaan SST itu.

“Pengecualian ini adalah wajar memandangkan kedua-duanya merupakan bahan mentah dalam pengeluaran produk oleokimia dan bukan produk akhir yang tertakluk kepada cukai oleh kerajaan.

“Cadangan berkaitan pengecualian atau pelepasan SST bagi perkhidmatan tertentu yang bersifat kritikal kepada operasi industri juga telah diambil kira bagi mengurangkan tekanan kos kepada pihak industri,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh) yang ingin tahu kesan pengembangan SST terhadap industri sawit khususnya sektor hiliran oleokimia.

Bagi mengekalkan daya saing industri sawit di pasaran antarabangsa, Chan berkata antara usaha yang dilakukan KPK termasuklah pelaksanaan skim pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), pembangunan sistem kebolehjejakan di sepanjang rantaian bekalan produk sawit dan penggunaan teknologi.

Selain itu, penekanan turut diberikan terhadap penyelidikan dan inovasi, diversifikasi produk sawit bernilai tambah tinggi serta pemasaran dan diplomasi dagangan.

Chan turut menjelaskan bahawa KPK masih menunggu pengesahan rasmi bertulis daripada MOF mengenai pengecualian cukai ke atas bahan mentah oleokimia, walaupun perkara itu telah dimaklumkan secara lisan dalam sesi libat urus pada 15 Julai lalu bersama Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA), Persatuan Penapis Minyak Sawit Malaysia (PORAM) dan beberapa persatuan lain.

“Secara verbal, pihak MOF telah memaklumkan bahan ini dikecualikan, tetapi kita masih menunggu pengesahan rasmi secara ‘hitam dan putih’ (maklumat lengkap),” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Teresa Kok mengenai bila pengecualian cukai SST ke atas CPKO dimuktamadkan serta pelan tindakan dan dasar kementerian bagi membantu industri sawit menghadapi pasaran global yang mencabar seperti Amerika Syarikat (AS) dan mengurangkan kebergantungan kepada eksport minyak sawit mentah.

Mengenai pasaran AS, Chan berkata kadar tarif telah menurun kepada 19 peratus, namun Malaysia hanya mengeksport sebanyak 191,231 metrik tan ke negara tersebut pada 2024, iaitu 1.1 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport sawit.

“Ini menunjukkan Amerika Syarikat bukanlah pasaran utama kita. Bagaimanapun, bagi memperkukuh kedudukan sawit di pasaran antarabangsa, pelbagai langkah diambil termasuk melalui pensijilan MSPO serta memanfaatkan perjanjian perdagangan bebas seperti Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-UAE (MY-UAE CEPA) dan Malaysia-EFTA Economic Partnership Agreement (MEEPA),” katanya.

-- BERNAMA