Bursa Malaysia Rendah Pada Tengah Hari
KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia rendah semasa mengakhiri sesi pagi ini disebabkan oleh aktiviti pengambilan untung dalam saham wajaran tinggi pada sektor kewangan, pengangkutan dan utiliti.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 13.96 mata kepada 1,588.49 daripada 1,602.45 ketika ditutup semalam.
Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 0.45 mata kepada 1,602.90 dan bergerak antara 1,585.67 dan 1,604.52 pada sesi dagangan pagi.
Pasaran lebih luas adalah negatif dengan 581 kaunter rugi mengatasi 341 kaunter untung manakala 426 kaunter tidak berubah, 1,280 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan sebanyak 1.98 bilion unit bernilai RM1.44 bilion.
Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikan hari in berkata walaupun prestasi semalaman Wall Street negatif, Bursa Malaysia dijangka didagang dengan nada positif lewat hari ini kerana firma itu percaya jangkaan penurunan kadar faedah akan datang mungkin menyokong saham teknologi.
“Kami mendapati sokongan belian dalam syarikat seperti Kumpulan Unisem, Inari Amertron dan Frontken Corporation yang kami lihat sebagai proksi untuk Apple dan Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC).
"Dalam sektor pembinaan, pedagang mungkin mengalihkan perhatian kepada proksi utama untuk penggiat pusat data semasa, kami menjangkakan pengumuman pakej kerja baharu bulan ini," katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank turun 5.0 sen masing-masing kepada RM9.80 dan RM4.46, CIMB dan Tenaga Nasional turun 10 sen masing-masing kepada RM7.40 dan RM13.62 manakala IHH Healthcare menambah 1.0 sen kepada RM6.80.
Bagi saham aktif, Magma group naik 5.5 sen kepada 27 sen, Genetec Tech meningkat 7.0 sen kepada 66.5 sen, bagaimanapun Tanco Holdings merosot 0.5 sen kepada 72.5 sen, NexG berkurangan 1.5 sen kepada 47.5 sen dan Aliance Bank merosot 3.0 sen kepada RM4.52.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 76.85 mata kepada 11,793.21, Indeks FBMT 100 susut 81.90 mata kepada 11,566.89, dan Indeks FBM Emas Shariah merosot 56.67 mata kepada 11,744.08, Indeks FBM 70 susut 30.30 mata kepada 16,586.18 manakala Indeks FBM ACE berkurangan 11.73 mata kepada 4,748.74.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 168.76 mata kepada 18,136.53, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menyusut 0.98 mata kepada 163.11, Indeks Tenaga susut 3.0 mata kepada 742.76 manakala Indeks Perladangan rendah 42.41 mata kepada 7,596.69.
-- BERNAMA