CEM16: TPM Fadillah Tekankan peranan Dasar Jelas, Inovasi Swasta Dalam Peralihan Tenaga Bersih

Daripada Harizah Hanim Mohamed

BUSAN, 26 Ogos (Bernama) -- Hala tuju dasar yang jelas dan kepastian kawal selia oleh kerajaan perlu diselaraskan dengan inovasi, penggunaan teknologi dan pembiayaan sektor swasta berikutan kerjasama awam-swasta adalah pemudah cara utama dalam memodenkan sistem tenaga, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

 Menerusi Dialog Peringkat Tinggi Awam-Swasta mengenai Transformasi Tenaga: Melabur dalam Infrastruktur Masa Depan, beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menekankan kepentingan untuk mengiktiraf skala pemodenan sistem tenaga dan magnitud pelaburan yang diperlukan, yang tidak dapat dibiayai oleh kerajaan sahaja.

Menurutnya dengan mengenal pasti pemudah cara, menangani halangan dan menggalakkan laluan pelaburan yang praktikal, peluang dapat dicungkil bukan sahaja untuk menyahkarbonkan sistem tenaga, malah mewujudkan industri baharu, memperkukuh keselamatan bekalan elektrik dan menjana pekerjaan berkualiti tinggi di seluruh ekonomi.

“Tiada mana-mana ekonomi dapat mencapai transformasi ini sendiri. Bagaimanapun, melalui kerjasama dan aspirasi bersama, kami boleh membina sistem tenaga yang menjamin keselamatan tenaga, mempercepat proses penyahkarbonan dan memacu kemakmuran mampan untuk rakyat serta generasi akan datang,” katanya ketika berucap dalam 6th Clean Energy Ministerial (CEM16) dan 10th Mission Innovation Ministerial (MI-10) hari ini.

Malaysia sebagai sebahagian daripada 21 ekonomi anggota Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) telah dijemput untuk menyampaikan pandangan semasa forum CEM16/MI10 yang diadakan selari dengan Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga APEC dan 2025 World Climate Industry EXPO (WCE).

CEM terdiri daripada 24 negara anggota dan pelbagai organisasi antarabangsa, termasuk Australia, China, Suruhanjaya Eropah, India, Jepun dan Amerika Syarikat.

Berkongsi pengalaman Malaysia sendiri, Fadillah berkata negara ini menyaksikan penglibatan kukuh sektor swasta dalam projek solar berskala besar, simpanan bateri dan pendigitalan grid, yang semuanya didorong oleh dasar yang telus dan rangka kerja pasaran yang kondusif.

Beliau menekankan bahawa apabila penggunaan tenaga bersih semakin pesat, infrastruktur sektor tenaga yang berdaya tahan, fleksibel dan moden menjadi penting untuk mengekalkan kemajuan.

Fadillah turut menyambut baik Agenda Tindakan CEM-MI yang dilancarkan di Brazil tahun lepas sebagai kerangka yang tepat pada masanya untuk menggerakkan tindakan kolektif dan mempercepat pelaburan dalam infrastruktur tenaga bersih.

Bercakap kepada pemberita selepas sesi CEM16, Fadillah berkata perbincangan antara ahli CEM16 serta pemain industri turut melibatkan kepentingan untuk menambah baik sistem grid tenaga selari dengan keperluan pusat data dan keperluan semasa.

"Kita bukan sahaja mahu memfokuskan kepada penjanaan tenaga tetapi bagaimana menyalurkan tenaga kepada penduduk. Oleh itu, kita perlu mempertingkat keupayaan grid bukan sahaja dalam negara, malah ia berhubung kait dengan Grid Tenaga ASEAN," kata beliau.

Melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Malaysia sedang merangka laluan untuk mencapai 70 peratus kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2050.

Pelan hala tuju itu menggariskan rancangan untuk memperluas tenaga solar dan hidro, memajukan hidrogen hijau sebagai sempadan tenaga baharu, dan meneroka penyelesaian digital bagi pengurusan sebelah permintaan.

Fadillah turut menekankan bahawa Malaysia sedang memodenkan grid nasional, melaksanakan inisiatif fleksibiliti grid dan memperkukuh hubungan serantau melalui Grid Tenaga ASEAN.

“Tanpa grid yang kukuh dan sistem bekalan elektrik yang selamat, kita tidak akan dapat merealisasikan sepenuhnya potensi peralihan tenaga ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan, Industri dan Tenaga Korea Selatan Lee Ho-hyun dalam ucapannya berkata dunia memerlukan satu pakatan kukuh yang menyatukan teknologi, dasar, kewangan dan industri.

“Melalui mesyuarat ini, kami berhasrat untuk berkongsi cabaran dan peluang kami, menggalakkan komitmen global yang lebih kukuh untuk melabur dalam infrastruktur tenaga kami.

“Korea bersedia untuk menjadi rakan kongsi yang boleh diharapkan dalam peralihan luar biasa ini,” katanya

-- BERNAMA