BERITA TERKINI   Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turun 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

PNB Merdeka Ventures Cadang Program Sukuk RM6 Bilion Untuk Pembangunan Merdeka 118

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd (PNBMV) mencadangkan terbit program Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) (Program Sukuk Wakalah Merdeka) dengan nilai nominal sehingga RM6 bilion.

Dalam satu kenyataan hari ini, anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) itu berkata hasil daripada program berkenaan akan digunakan untuk membiayai semula sukuk sedia ada dan mengumpul modal baharu bagi pembangunan berterusan presint Merdeka 118 yang ikonik.

“Selaras dengan komitmennya terhadap pembangunan mampan, PNB Merdeka telah mengemas kini Rangka Kerja Kewangan Mampan. Rangka kerja 2025 yang baharu ini memastikan penjajaran dengan garis panduan kewangan mampan yang sentiasa berkembang, memperluas skop projek yang layak dan menyediakan fleksibiliti untuk menerbitkan lebih banyak instrumen kewangan mampan,” katanya.

Rangka kerja itu juga menyokong matlamat PNB untuk mencapai Perusahaan Sifar Bersih menjelang 2025 dan Portfolio Sifar Bersih menjelang 2050.

Program Sukuk Wakalah Merdeka itu diatur bersama oleh CIMB Investment Bank Bhd dan Maybank Investment Bank Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif PNBMV Datuk Tengku Ab. Aziz Tengku Mahmud berkata program sukuk itu bertujuan mengoptimumkan struktur pembiayaan dan kos untuk projek Merdeka 118.

“Kami yakin program ini akan menyokong kemajuan berterusan Merdeka 118 sebagai sebuah pembangunan yang melambangkan kebanggaan negara dan pertumbuhan mampan,” katanya.

Presint Merdeka 118, yang berteraskan Menara Merdeka 118 yang ikonik, diletakkan sebagai sebuah pembangunan mampan bertaraf dunia dan akan terus memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pertumbuhan Kuala Lumpur di bawah inisiatif Warisan KL yang lebih besar.

Menara Merdeka 118 terus mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu kawasan perniagaan paling berprestij di Kuala Lumpur, menarik pelbagai penyewa korporat merentas syarikat perkhidmatan kewangan dan multinasional, dengan kadar penghunian pejabat kini pada kira-kira 70 peratus.

Di samping segmen pejabat, PNBMV juga berkata 118 Mall setinggi tujuh tingkat bakal menjadi hab gaya hidup yang bertenaga dalam presint itu, dengan menawarkan gabungan pilihan runcit, makanan dan hiburan. Momentum pajakan juga amat memberangsangkan dengan hampir 70 peratus ruang telah dipajak sebelum pembukaannya, tambahnya.

MARC Ratings Bhd memberikan penarafan awal AAA/S dengan prospek stabil kepada Program Sukuk Wakalah Merdeka.

-- BERNAMA