AS Belum Perinci Pelaksanaan Aktiviti Pindah Kapal – MITI
KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Aktiviti transhipment atau pindah kapal masih belum diperjelaskan sepenuhnya dari segi pelaksanaan penguatkuasaan berikutan Amerika Syarikat (AS) belum menggariskan secara terperinci kategori aktiviti itu, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
MITI dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen pada Selasa berkata pada 31 Julai 2025, Presiden AS Donald J. Trump mengumumkan Arahan Eksekutif baharu mengenai penetapan kadar tarif timbal balas terhadap negara-negara rakan dagang, dengan Malaysia dikenakan 19 peratus berkuat kuasa 7 Ogos 2025.
“Arahan Eksekutif itu turut menyentuh aktiviti pindah kapal dengan barangan/produk yang dikenal pasti oleh Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS boleh dikenakan tarif sebanyak 40 peratus menggantikan kadar tarif timbal balas yang dikenakan ke atas barangan dari negara asal.
“Aktiviti pindah kapal tidak bercanggah dengan perundangan mana-mana negara kerana ia merupakan sebahagian daripada strategi perniagaan global.
“Bagaimanapun, pindah kapal yang melibatkan penyelewengan Sijil Tempasal (COO) bagi memintas atau mengelak duti import adalah perbuatan yang melanggar peraturan,” katanya bagi menjawab soalan Senator Rita Sarimah Patrick Insol mengenai kesan kadar tarif AS terhadap jumlah pengendalian kargo pindah kapal di pelabuhan utama Malaysia.
MITI berkata kementerian telah mengambil alih sepenuhnya pengeluaran Sijil Tempasal Bukan Keutamaan (NPCO) bagi produk Malaysia yang dieksport ke pasaran AS berkuat kuasa 6 Mei 2025, yang sebelum ini dikeluarkan oleh badan perniagaan.
Antara kriteria NPCO yang ditambah baik termasuk barangan mesti diperoleh atau dihasilkan sepenuhnya di Malaysia, mempunyai sekurang-kurangnya 25 peratus kandungan tempatan serta melalui perubahan ketara dalam klasifikasi tarif, katanya.
MITI juga telah mengambil beberapa langkah kawalan selain pemusatan COO seperti peningkatan audit dan verifikasi ke atas syarikat pengeksport, termasuk lawatan pemeriksaan kilang bagi memastikan pematuhan kepada peraturan tempasal.
Selain itu, kementerian turut menjalin kerjasama erat dengan pihak berkuasa AS, termasuk CBP, untuk berkongsi maklumat serta bertindak terhadap mana mana syarikat yang dikesan cuba menggunakan Malaysia bagi tujuan “origin-washing.”
MITI berkata kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa di samping memastikan Malaysia kekal sebagai hab logistik yang berintegriti, telus dan dipercayai di rantau Asia Tenggara.
-- BERNAMA