BERITA TERKINI   Jaguh para badminton negara Cheah Liek Hou pertahan gelaran juara perseorangan lelaki SU5 pada Kejohanan Para Badminton Dunia 2026 di Bahrain hari ini | Tan Sri Noh Omar umum letak jawatan Ahli MPT Bersatu berkuat kuasa hari ini | PM Anwar umum peruntukan tambahan RM20 juta bagi pembaikan dan naik taraf SMJKC seluruh negara ikut keperluan | 

Malaysia, Korea Selatan Dijangka Meterai MoU Kerjasama Tenaga Bersih Pada Akhir 2025

Daripada Harizah Hanim Mohamed

BUSAN, 27 Ogos (Bernama) -- Malaysia dan Korea Selatan dijangka memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk memperkukuh kerjasama dalam sektor tenaga, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata MoU itu dijangka ditandatangani pada Oktober atau November tahun ini sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.

“Kita berharap dapat menandatangani MoU dengan Korea Selatan bagi meneroka kerjasama dalam teknologi tenaga bersih termasuk tenaga nuklear dan sebagainya.

“Ini akan merangkumi pembangunan modal insan, pemindahan teknologi serta aspek keselamatan, jaminan tenaga dan bidang berkaitan lain,” katanya kepada pemberita selepas lawatan ke Doosan Enerbility di sini, Rabu.

Fadillah kini dalam rangka lawatan kerja rasmi di sini sehingga 29 Ogos, sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga (EMM) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ke-15.

Menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, Malaysia merupakan rakan dagang ke-11 terbesar Korea Selatan dan destinasi eksport ke-11 terbesar negara itu.

Jumlah perdagangan antara kedua-dua negara bernilai US$15.69 bilion, dengan eksport Korea Selatan ke Malaysia bernilai US$6.91 bilion, meningkat 15.2 peratus daripada angka yang dicatatkan pada tempoh sama 2024.

Eksport Malaysia ke Korea Selatan pula mencecah US$8.77 bilion, meningkat 12.9 peratus daripada angka yang direkodkan pada tempoh sama 2024.

Jumlah perdagangan keseluruhan antara Malaysia dan Korea Selatan pada 2024 adalah US$24.42 bilion.

-- BERNAMA