BERITA TERKINI   PM Anwar zahir simpati kepada lebih 50 mangsa terlibat dalam kejadian titi gantung runtuh di Lata Rek, Kuala Krai - PMO | PM Anwar arah peruntukan disediakan bagi ganti titi gantung di Lata Rek, Kuala Krai, Kelantan yang runtuh semalam - PMO | Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim dilantik Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian berkuat kuasa 1 Jan 2026 hingga 31 Dis 2028 - Azalina | Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian ditubuh bagi memandu hala tuju keselamatan dalam talian negara - Azalina | Pelabuhan Tanjung Pelepas catat peningkatan 14 peratus pengendalian kontena kepada 14.03 juta TEUs pada 2025, menjadi terminal kontena pertama di Malaysia lepasi paras 14 juta TEUs | 

Malaysia Pelawa Pelabur, Penyedia ACMI Global Manfaatkan Pertumbuhan Penerbangan Asia Pasifik

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Malaysia mempelawa kalangan penyedia dan pelabur global dalam bidang pesawat, kru, penyelenggaraan dan insurans (ACMI) untuk menjadikan negara ini sebagai pangkalan operasi selain memanfaatkan lokasi strategik dan kesalinghubungan kukuh bagi pengembangan di rantau Asia-Pasifik.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata ini juga hanya mengesahkan lagi sokongan kerajaan terhadap usaha pengembangan pengendali ACMI di Malaysia.

“Kita tidak melihat ACMI sebagai sekadar satu penyelesaian sewaan, sebaliknya mengiktiraf bidang itu sebagai pemangkin pertumbuhan.

“Bidang ini dapat meningkatkan kesalinghubungan serantau, mempercepat usaha pemodenan kumpulan pesawat dan mempermudah penskalaan penerbangan dan laluan baharu -- termasuk di pasaran yang kurang mendapat khidmat dan berpotensi tinggi,” katanya pada sesi Forum Pimpinan ACMI - Pengembangan Pasaran Penerbangan Asia yang dihoskan oleh Avia Solutions Group dan Ascend Airways.

Hasbi juga mengingatkan kepentingan meninjau manfaat ACMI yang juga penyelesaian penerbangan diiktiraf dunia, dapat dijadikan sebagai pemangkin pertumbuhan, kestabilan dan perubahan dalam landskap penerbangan Malaysia.

“Pengeluar misalnya telah banyak menyumbang kepada usaha menjadikan Malaysia sebagai pemain penerbangan yang disegabu serta ada daya tahan di Asia Pasifik,” katanya.

Malaysia juga pada masa ini, tidak lagi berperanan sebagai peserta dalam landskap penerbangan global, tetapi turut membina kapasiti, pengupaya pertumbuhan serta inovator perubahan.

“Bagaimanapun, dalam usaha mengekalkan kemajuan itu, kita perlu terus berubah dan usaha berkaitan ACMI adalah bahagian kritikal bagi evolusi itu,” katanya.

Beliau berkata ACMI juga berpotensi untuk menjadi teras strategi pertumbuhan penerbangan Malaysia yang melengkapi cita-cita negara dengen meningkatkan ketangkasan operasi, sokongan terhadap pembangunan laluan, penciptaan kerja berkualiti tinggi serta pemodenan kumpulan pesawat.

ACMI merujuk kepada satu bentuk penyewaan pesawat khusus dengan penyewa membekalkan pesawat, kru penerbangan dan kabin, semua penyelenggaraan serta insurans diperlukan kepada syarikat penerbangan penyewa.

— BERNAMA