BERITA TERKINI   Gempa bumi lemah berukuran 2.5 berlaku di Segamat pada 7.56 malam, gegaran dirasai sekitar Johor - MetMalaysia | Liga Super: Imigresen FC 0-3 JDT | RUU Pekerja Gig 2025 lulus, bukti komitmen Kerajaan MADANI pastikan pekerja Gig terima perlindungan sosial - TPM Ahmad Zahid | Nilai ambang persetujuan dalam RUU Pembaharuan Semula Bandar akan dipinda selepas ambil kira pandangan pelbagai pihak - Nga | Dewan Rakyat lulus Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 | 

Kerajaan Tidak Pinggirkan Pembangunan Negeri Lain Dalam Kerangka Ekonomi MADANI, NIMP 2030 - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Kerajaan tidak pernah meminggirkan mana-mana negeri dalam pelaksanaan projek pembangunan di bawah Kerangka Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata malah, peruntukan perbelanjaan pembangunan negeri-negeri ditambah mengikut keperluan.  

“Dalam Kerangka Ekonomi MADANI dan NIMP 2030, kita telah memberi tumpuan kepada beberapa projek keutamaan. Ini termasuk Pelan Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSS) dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ). 

“Namun, ini tidak bermakna beberapa pembangunan di negeri-negeri lain dipinggirkan. Sebagai contoh, bagi Sabah, jika dilihat dari 2022 hingga 2025, perbelanjaan pembangunan itu meningkat agak mendadak daripada RM5.2 bilion (2022) kepada RM6.7 bilion (2025).

“Sarawak RM4.7 bilion (2022) kepada RM5.9 bilion (2025); Terengganu RM1.4 bilion (2022) kepada RM1.8 bilion (2025); Kelantan RM2.4 bilion (2022) kepada RM3.2 bilion (2025); Kedah RM1.6 bilion (2022) kepada RM2.2 bilion (2025) dan Perlis RM0.4 bilion (2022) kepada RM0.6 bilion (2025),” kata beliau pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai sama ada benar perancangan projek pembangunan infrastruktur oleh kerajaan Persekutuan hanya tertumpu kepada negeri-negeri tertentu dan meminggirkan negeri lain.

Anwar berkata ini jelas menunjukkan komitmen Kerajaan MADANI untuk merapatkan jurang pembangunan bagi negeri yang kurang membangun.

Bagi pelaksanaan projek pembangunan di Sabah dan Sarawak, beliau berkata sehingga Disember 2024, sebanyak sembilan daripada 11 pakej kerja projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dan empat daripada 35 pakej kerja projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah telah disiapkan.

Menurut beliau, Kerajaan MADANI telah meneruskan pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dengan kos berjumlah RM15.9 bilion di bawah anggaran perbelanjaan pembangunan kerajaan Persekutuan,  tambahan kepada pembiayaan yang menggunakan sumber lain bagi membiayai projek ini.

“Kerajaan juga telah meluluskan pelaksanaan projek Sabah Sarawak Link Road (SSLR) dengan kos hampir RM10 bilion,” kata beliau.

Anwar berkata kerajaan Persekutuan giat meneruskan pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) untuk meningkatkan kesalinghubungan dan memacu pertumbuhan ekonomi di negeri-negeri Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang dengan kos keseluruhan berjumlah RM74.96 bilion.

Selain itu, beliau berkata kerajaan turut melaksanakan projek Central Spine Road dengan kos sebanyak RM6.38 bilion yang menjadi laluan alternatif ke Pantai Timur tanpa perlu menggunakan Lebuhraya Karak.

Anwar berkata dalam mempersiapkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan belanjawan, beliau pergi ke negeri-negeri termasuk Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah.

“Mereka (Menteri Besar) akan mencadangkan beberapa keutamaan. Kita akan terima dan insya-Allah, saya akan umumkan dalam belanjawan pada Oktober ini,” kata beliau.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) mengenai kelewatan Projek Pan Borneo dan Link Road di Sabah berbanding Sarawak, Anwar berkata kerajaan akan mempercepat pelaksanaannya melalui proses tender yang lebih telus bagi mengatasi masalah pengagihan kontrak yang diwarisi sejak tujuh hingga lapan tahun lepas.

“Di Sabah, kita beri keutamaan mengenai isu jalan berlubang, isu air dan Pan Borneo. Projek yang diluluskan sebelum ini berdepan syarat ketat penglibatan syarikat negeri sehingga menjejaskan pelaksanaannya, malah banyak kontrak terpaksa dibatalkan.

“Ada yang dilanjutkan sebanyak dua hingga tiga kali tetapi saya sudah tamatkan supaya ia boleh ditender semula,” kata beliau.

Beliau turut optimis mengenai pendekatan baharu kerajaan yang menekankan ketelusan tender dan penglibatan syarikat yang berkeupayaan termasuk syarikat besar dengan syarat projek kecil diagihkan kepada kontraktor negeri yang mampu mempercepat kemajuan projek berkenaan.

-- BERNAMA