Untung Bersih, Hasil KPJ Healthcare Mengukuh Pada Suku Kedua 2025

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih KPJ Healthcare Bhd meningkat kepada RM82.06 juta bagi suku kedua yang berakhir pada 30 Jun, 2025 daripada RM75.88 juta bagi suku yang sama tahun lepas, seiring dengan peningkatan hasil yang dicatatkan dalam suku berkenaan.

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, KPJ Healthcare berkata, hasil syarikat naik kepada RM1.02 bilion daripada RM924.84 juta sebelumnya.

Pertumbuhan itu, katanya disokong oleh jumlah pesakit yang lebih tinggi, peningkatan jumlah pembedahan serta purata hasil setiap kes pesakit dalam yang lebih baik, sekali gus mencerminkan tahap kerumitan klinikal dan kepelbagaian kes yang meningkat.

KPJ Healthcare memaklumkan kemasukan pesakit dalam meningkat sebanyak dua peratus kepada 92,665 manakala lawatan pesakit luar bertambah sebanyak 4.0 peratus kepada 703,802 serta kadar penggunaan katil berada pada paras 62 peratus.

Sementara itu, Presiden dan Pengarah Urusannya Chin Keat Chyuan berkata, bermula pada 2023, pihaknya berjaya menamatkan operasi di Bangladesh serta memberi tumpuan terhadap Malaysia sebagai pasaran utama dan pemacu pertumbuhan strategik menerusi pelan transformasi dan penstrukturan semula portfolionya.

"Keputusan terkini Kementerian Kesihatan untuk menangguhkan pelaksanaan sistem kumpulan berkaitan diagnosis (DRG) ke 2027 memberikan gambaran yang lebih jelas kepada pihak berkepentingan di samping memberi ruang untuk memperkukuh kesiapsiagaan sistem secara lebih mampan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.​

Chin berkata, di bawah KPJ Health System, pihaknya terus memperkukuh perkhidmatan subkepakaran, memperluas keupayaan digital serta memacu inisiatif untuk ke arah penubuhan Pusat Kecemerlangan pada masa hadapan.

"Usaha ini tidak tertumpu hanya pada pertumbuhan tetapi turut mempertingkatkan kualiti perkhidmatan “Care for Life” agar pesakit dan komuniti dapat terus menaruh kepercayaan kepada kami pada hari ini dan juga pada masa akan datang.

"Fokus kami mudah iaitu untuk menyampaikan penjagaan yang mudah diakses, mampan dan benar-benar berteraskan kepada keperluan insan, selaras dengan misi kami untuk terus merawat, mendidik dan meneroka untuk semua,” katanya.

Menuju ke hadapan, KPJ Healthcare kekal optimis dan berwaspada terhadap prospeknya bagi tahun kewangan 2025, disokong oleh permintaan pesakit yang stabil serta usaha berterusan untuk meningkatkan tahap kecekapan operasi.

Katanya, usaha ini merangkumi pengoptimuman aset, peluasan kapasiti dan pengurusan kos yang berdisiplin.​

-- BERNAMA