BERITA TERKINI   Perancangan lanjutkan projek ECRL berhampiran sempadan Thailand masih di peringkat perbincangan awal – PM Anwar | Belum ada keperluan Malaysia sertai Pertubuhan Kerjasama Shanghai – Mohamad | Operasi 24 jam sistem aerotrain KLIA disambung semula selepas penyelenggaraan berjadual dari 18 hingga 31 Ogos - MAHB | Sistem aerotrain KLIA menyambung semula operasi 24 jam selepas penyelenggaraan berjadual dari 18 hingga 31 Ogos - MAHB | 

Pos Fulfill Sasar Pertumbuhan PKS, Pengembangan Di Sabah, Sarawak

SHAH ALAM, 2 Sept (Bernama) -- Pos Fulfill, perkhidmatan pemenuhan logistik serta e-dagang yang bersepadu oleh Pos Malaysia, sedang memperkukuhkan sokongannya ke atas perusahaan kecil dan sederhana (PKS), terutamanya di Sabah, Sarawak, dengan memanfaatkan penyelesaian menyeluruh untuk memastikan kebolehpercayaan serta jangkauan ke seluruh negara.

Ketua Pemenuhan Pos Fulfill, Rohit Gunavanthe berkata Malaysia telah menyaksikan kenaikan bilangan PKS sejak pandemik COVID-19, dengan usahawan di Malaysia Timur berminat untuk mengembangkan perniagaan mereka ke Semenanjung serta pasaran antarabangsa seperti Indonesia dan Timur Tengah.

"Sebagai contoh, pemenuhan Semenanjung-Malaysia Timur kami memberi manfaat kepada PKS tempatan. Sebelum ini, pesanan pelanggan dari Tawau, Sabah akan dipenuhi dari Lembah Klang, dilencongkan melalui Kota Kinabalu, dengan batuan terakhir ke Tawau melalui pengangkutan darat akan mengambil masa sehingga 10 jam.

"Pendekatan ini agak mahal dan memakan masa. Hari ini, dengan adanya hab Pos Fulfillment di Kota Kinabalu dan Kuching, pesanan tersebut dapat dipenuhi secara langsung dari Malaysia Timur. Dalam kes Tawau, pakej mereka bergerak melalui batuan terakhir kami dari Kota Kinabalu, ini mampu mengurangkan masa serta kos penghantaran," katanya kepada media baru-baru ini. 

Pos Fulfill mempunyai kelebihan sendiri melalui kekuatan operasinya selain menawarkan peluang perkongsian strategik bagi membolehkan pertumbuhan PKS. Daripada melihat PKS semata-mata sebagai pelanggan, syarikat itu menyediakan akses kepada platform pemasaran dan komunikasi untuk membantu mereka membuka peluang perniagaan baharu, katanya.

"Kami sedang melihat jejak yang lebih besar di Malaysia Timur, terutama Kota Kinabalu dan Kuching, kerana permintaan di situ sangat tinggi," kata Rohit. 

Terdapat juga minat yang sama dengan vendor Semenanjung Malaysia yang mencari penyimpanan di Malaysia Timur untuk mengurangkan kos berikutan pengangkutan berdasarkan satu-satu pesanan adalah mahal. Jika vendor boleh menyimpan stok mereka di sana dan menyampaikan secara lokal, ia mampu menjimatkan kos penghantaran sebanyak 20 peratus. 

"Sama dengan penjual di Sabah dan Sarawak. Ia lebih masuk akal untuk produk mereka disimpan di kemudahan kami secara pukal, sebelum menyampaikannya secara lokal," katanya.

Rohit berkata buat masa ini, Pos Fulfill beroperasi di lapan tapak. Tiga kemudahan gudang berada di Lembah Klang, satu di Pulau Pinang, dua di Selangor termasuk dua lagi di Sabah dan Sarawak. Ia mahu menambah jumlah ruangnya kepada 500,000 kaki persegi dalam kira-kira dua tahun lagi berbanding 170,000 kaki persegi sekarang ini.

Pos Fulfill amat komited kepada PKS dan menawarkan fleksibiliti dalam harga tanpa sebarang halangan kemasukan.

Sama ada sesebuah perusahaan itu memproses 25 atau 250 pesanan sehari, setiap pelanggan akan menerima tahap semangat dan komitmen yang sama.

Rohit berkata kelebihan terbesar bekerja secara perkongsian dengan mereka adalah sambungan yang ditawarkan oleh syarikat itu.

"Kami sudah bekerja dengan beberapa PKS dan mereka telah mendapat manfaat daripada rangkaian ini. Selain itu, mereka dapat memanfaatkan sambungan antarabangsa kami melalui Redly Express, yang membolehkan mereka memasarkan produk mereka secara tempatan, di antara negara-negara ASEAN serta di seluruh dunia," katanya.

-- BERNAMA