Petronas Iktiraf Kepentingan Industri OGSE, Komited Perkukuh Ekosistem
KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengiktiraf kepentingan industri perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) yang kukuh dan komited untuk memperkukuh ekosistem melalui peningkatan perkongsian.
Naib Presiden Eksekutif Petronas dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Gas dan Maritim Datuk Adif Zulkifli berkata Program Pembiayaan Vendor syarikat minyak negara itu telah menyalurkan lebih RM2.2 bilion kepada pembekal sejak 2018, termasuk lebih RM300 juta pada 2024.
Beliau berkata melalui Program Pembangunan Vendor (VDP) dan VDPx Petronas, lebih 170 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) telah dibangunkan dengan 20 daripadanya berjaya mengembangkan perniagaan ke peringkat antarabangsa.
“Program Sokongan Pembekal kami yang dilancarkan tahun lalu telah mendaftarkan lebih 400 vendor untuk membina keupayaan yang mampan,” katanya dalam ucaptama sempena Oil and Gas Asia (OGA) 2025 di sini hari ini.
Adif menyampaikan ucapan itu bagi pihak Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.
Beliau berkata bagi vendor yang lebih kecil, Program Pembiayaan Khas OGSE telah menyediakan RM73.4 juta kepada 47 pemohon sejak 2022, dengan RM31.9 juta disalurkan kepada 20 pemohon pada tahun lalu.
Adif menekankan bahawa Petronas turut memberi tumpuan yang sama terhadap pembangunan bakat dan modal insan.
“Bersama-sama dengan Perbadanan Sumber Petroleum Malaysia (MPRC) dan Majlis Perkhidmatan Minyak dan Gas Malaysia (MOGSC), kami menerajui Rangka Kerja Bakat Industri. Inisiatif ini bertujuan memetakan permintaan dan penawaran bakat dalam sektor OGSE dengan hasilnya akan diterbitkan tahun ini di bawah Pelan Tindakan Industri OGSE Kebangsaan,” katanya.
Di samping itu, beliau berkata Petronas turut bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) melalui ‘Program Latihan Madani’, bertujuan meningkatkan kemahiran dan melengkapkan graduan tempatan dengan kemahiran yang diperlukan untuk berjaya dalam sektor minyak dan gas.
Beliau berkata usaha-usaha itu berpandukan satu matlamat, iaitu memastikan keseluruhan rantaian bekalan kekal kukuh, berdaya saing dan bersedia untuk terus berkembang di tengah-tengah permintaan tenaga yang semakin meningkat dan peralihan kepada masa depan yang lebih rendah karbon.
“Bagi Menggerakkan Kemajuan dan Membentuk Masa Hadapan, kita mesti memupuk kerjasama yang lebih mendalam merentas ekosistem tenaga, memacu kemampanan di seluruh rantaian nilai, memperkukuh daya tahan melalui kecemerlangan operasi dan melabur dalam pembangunan bakat.
Berlangsung dari 2 hingga 4 Sept, OGA 2025 diadakan dengan tema “Powering Progress, Shaping Tomorrow” ketika rantau ini berusaha memperkukuh integrasi ekonomi dengan tenaga sebagai tonggak utama di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
OGA 2025 merupakan sebahagian daripada Informa Markets Energy Series – portfolio serantau bagi acara-acara yang mendefinisikan industri.
-- BERNAMA