Malaysia Sedia Jadi Rakan Kongsi Utama China - Tengku Zafrul
KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Malaysia bersedia menjadi rakan kongsi utama China, disokong dengan pelbagai inisiatif seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata kedudukan Malaysia yang strategik di tengah-tengah Asia Tenggara, ditambah dengan dasar yang jelas dan stabil, menjadikan negara ini pintu masuk terbaik ke pasaran ASEAN yang mempunyai hampir 680 juta penduduk.
“Sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menyeru syarikat-syarikat China yang menghadiri ‘Malaysia-China High-Level Business Dialogue’ (Dialog Perniagaan Peringkat Tinggi Malaysia-China) untuk menjadikan Malaysia sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN.
“Saya yakin kerjasama ini akan memacu pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti tinggi untuk rakyat Malaysia,” katanya menerusi hantaran di platform X hari ini.
Pada Isnin, Anwar berkata Malaysia sedang meneroka pasaran baharu bagi industri semikonduktor sebagai sebahagian usaha pempelbagaian untuk menembusi pasaran baharu dan bukan tradisional.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut berkata Malaysia berhasrat untuk belajar serta meneroka potensi kerjasama dengan rakan setaranya di China.
Perdana Menteri kini dalam rangka lawatan kerja empat hari di China, yang merupakan lawatan keempat beliau ke negara itu sejak memegang jawatan pada November 2022.
-- BERNAMA