Solarvest, Malakoff Tubuh Konsortium Bagi Projek Solar Di Perak
KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Malakoff Corporation Bhd (Malakoff) dan Solarvest Holdings Bhd (Solarvest) menerusi satu konsortium, telah memperoleh surat notifikasi daripada Suruhanjaya Tenaga Malaysia (EC) untuk membangunkan loji fotovoltaik solar berskala besar (LSS) arus ulang alik (MWa.c.) 470 megawatt di Perak.
Dalam makluman berasingan kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat-syarikat itu berkata konsortium yang merangkumi Malakoff (80 peratus kepentingan) dan Solarvest (20 peratus), telah disenarai pendek di bawah pelaksanaan pembidaan kompetitif LSS PETRA 5+ EC.
“Konsortium itu akan menubuhkan sebuah syarikat tujuan khas (SPV), yang akan memeterai Perjanjian Pembelian Tenaga Solar dengan Tenaga Nasional Bhd untuk projek itu bagi tempoh 21 tahun,” kata Solarvest.
Sementara itu, Malakoff dalam maklumannya berkata projek tersebut mencerminkan komitmen berterusan syarikat itu terhadap pengembangan tenaga boleh ubah dan mengukuhkan inisiatif peralihan tenaga bersihnya, seiring dengan objektif tenaga boleh ubah negara yang lebih meluas di Malaysia.
Kedua-dua syarikat berkata projek itu akan dibiayai melalui gabungan hutang dan ekuti serta dijangka tidak memberi sebarang kesan material terhadap perolehan dan aset bersih masing-masing bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2025 (Malakoff) dan 31 Mac 2025 (Solarvest).
Mereka berkata tiada pengarah atau pemegang saham utama syarikat, atau individu berkaitan dengan mereka, mempunyai sebarang kepentingan, secara langsung atau tidak langsung dalam projek tersebut.
-- BERNAMA