Kontrak Niaga Hadapan Emas Teruskan Kenaikan, Didorong Kebimbangan Fiskal Di AS

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives meneruskan kenaikan untuk ditutup tinggi pada Rabu, didorong oleh kebimbangan fiskal di Amerika Syarikat (AS), kata penganalisis.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata perkara paling ketara adalah keupayaan harga emas untuk terus meningkat walaupun hasil Perbendaharaan AS kekal tinggi dan dolar AS masih kukuh.

“Faktor-faktor ini telah meredakan lonjakan berterusan harga semalam namun ujian sebenar kini beralih kepada keputusan bank-bank pusat,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata para pelabur kini bersiap sedia menerima data pasaran buruh minggu ini.

Beliau berkata data itu juga akan menjadi input penting bagi ahli Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS (FOMC) apabila mereka bermesyuarat pada 16 hingga 17 September.

Pada masa sama, situasi geopolitik global turut menjadi perhatian pelabur minggu ini, dengan China mempamerkan kekuatan tenteranya dalam satu acara yang dihadiri pihak sekutu, katanya kepada Bernama.

“Oleh itu, kami menjangkakan harga emas terus meningkat, dengan harga emas semerta naik melebihi US$3,500 per auns,” katanya.

Pada penutupan, September 2025 meningkat kepada US$3,553.70 setiap auns troy daripada US$3,500.20 ketika ditutup semalam.

Kontrak Oktober 2025 naik kepada US$3,572.30 setiap auns troy daripada US$3,519.30 pada Selasa, manakala November 2025 meningkat kepada US$3,589.10 daripada US$3,536.10 dan Disember 2025 melonjak kepada US$3,609.50 daripada US$3,487.10 ketika ditutup semalam.

Dalam masa sama, Februari 2026, April 2026 dan Jun 2026 masing-masing ditutup tinggi pada US$3,609.50 setiap auns troy berbanding US$3,556.50 setiap auns troy semalam.

Jumlah dagangan melonjak kepada 134 lot daripada 36 lot semalam manakala kepentingan terbuka menokok kepada 160 kontrak daripada 64 kontrak.

Harga emas fizikal pula pada US$3,490.00 setiap auns troy berdasarkan penetapan harga petang oleh Persatuan Pasaran Jongkong London (LBMA) pada 2 September.

-- BERNAMA