Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Rabu berikutan pengeluaran yang dijangka meningkat dan paras stok yang lebih tinggi.

Peniaga minyak sawit, David Ng berkata harga minyak kacang soya yang lebih rendah turut mempengaruhi sentimen pasaran.

“Kami melihat paras sokongan pada RM4,350 setan dan paras rintangan pada RM4,520 setan,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta September 2025 susut RM21 kepada RM4,362 setan, manakala kontrak Oktober 2025 dan November 2025 masing-masing turun RM34 kepada RM4,404 setan dan RM4,442 setan.

Kontrak Disember 2025 merosot RM27 kepada RM4,472 setan, Januari 2026 susut RM24 kepada RM4,485 setan dan Februari 2026 berkurangan RM20 kepada RM4,477 setan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 67,415 lot berbanding 59,839 lot pada Selasa, manakala kepentingan terbuka sedikit rendah pada 253,198 kontrak berbanding 254,494 kontrak sebelum ini.

Harga fizikal MSM untuk September Selatan turun RM20 kepada RM4,400 setan.

-- BERNAMA