Bursa Malaysia Dibuka Tinggi Menjelang Keputusan Dasar BNM Hari Ini

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Khamis apabila pelabur menantikan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini berkenaan dengan kadar faedah, dengan kebanyakan pihak menjangkakan pembuat dasar itu mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.

Pada 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.30 mata kepada 1,581.82 daripada 1,578.52 ketika ditutup semalam.

Indeks itu dibuka 1.40 mata lebih tinggi kepada 1,579.92.

Keseluruhan pasaran adalah positif, dengan 163 kaunter untung mengatasi 80 kaunter rugi, manakala 256 kaunter tidak berubah, 2,059 kaunter tidak diniagakan dan tujuh lagi digantung.

Menurut penyelidikan perbendaharaan dan pasaran CIMB, BNM dijangka mengekalkan OPR pada 2.75 peratus memandangkan keadaan paling buruk berkaitan tarif Amerika Syarikat berjaya dielakkan.

Malacca Securities Sdn Bhd pula menjelaskan pasaran tempatan dijangka mencatatkan dagangan lebih kukuh, menjejaki kenaikan semalaman di Wall Street.

Ekuiti AS meningkat semula secara sederhana, diterajui oleh Alphabet selepas menang dalam kes antipakat, walaupun data pekerjaan yang lemah dan penjualan besar-besaran bon jangka masa panjang global telah mengehadkan sentimen, jelasnya.

"Pelabur kekal berhati-hati terhadap kemampanan hutang dan inflasi, meskipun harapan terhadap pengurangan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS masih berterusan," tambahnya.

Firma pembrokeran itu memaklukan syarikat berkaitan tenaga solar dijangka meraih minat belian yang tinggi susulan pelaksanaan pakej solar berskala besar LSS5+.

“Bagi sektor pembinaan, kami yakin pelabur mungkin memberi tumpuan kepada Sunway Construction Group Bhd dan Gamuda Bhd, memandangkan lonjakan pembangunan pusat data dijangka berterusan.

“Dari sudut lebih defensif, tumpuan mungkin beralih kepada saham perbankan dan pengguna seperti AMMB Holdings Bhd dan 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd, yang baru-baru ini mengumumkan pengembangan ke China,” katanya.

Dalam kalangan kaunter berwajaran tinggi, Maybank meningkat dua sen kepada RM10.00, Public Bank naik tiga sen kepada RM4.29, Tenaga Nasional menokok empat sen kepada RM13.14. manakala CIMB Group susut satu sen kepada RM7.22 dan IHH Healthcare kekal pada RM6.19.

Antara saham aktif, MTouche Technology meningkat setengah sen kepada 4.5 sen, Farm Fresh susut dua sen kepada RM2.00 manakala Velesto, Auro Holdings dan Reservoir Link Energy masing-masing tidak berubah pada 21.5 sen, 15 sen dan 20 sen.

Di papan indeks yang lebih luas, Indeks FBM Emas meningkat 26.54 mata kepada 11,753.07, Indeks FBMT 100 naik 25.93 mata kepada 11,521.45, dan Indeks FBM Emas Syariah menambah 27.71 mata kepada 11,735.33.

Indeks FBM 70 meningkat 45.45 mata kepada 16,534.85, manakala Indeks FBM ACE naik 11.54 mata kepada 4,765.63.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.66 mata kepada 164.15, Indeks Perladangan naik 8.85 mata kepada 7,614.74, Indeks Tenaga meningkat 1.32 mata kepada 751.24, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 37.46 mata kepada 18,109.42.

-- BERNAMA